Kadar pengangguran meningkat dalam tempoh PKP, kata Jabatan Perangkaan 


Seorang pekerja menyusun kerusi di sebuah premis makanan di Bukit Bintang, Kuala Lupur pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Kadar pengangguran meningkat susulan penguatkuasaan kawalan pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

KADAR pengangguran meningkat 17.1% pada bulan Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghentikan penularan wabak Covid-19, kata Jabatan Perangkaan dalam laporan terbarunya.

Peningkatan peratusan itu adalah daripada 521,300 penganggur pada Mac tahun lalu kepada 610,500 orang pada bulan yang sama tahun ini.

Ini menjadikan kadar pengangguran untuk bulan Mac tahun ini pada 3.9%, kadar pengangguran tertinggi sejak 1986 ketika itu adalah 7.4%, kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Perbandingan suku ke suku menunjukkan bahawa pengangguran untuk tiga bulan pertama tahun ini meningkat kepada 3.5%, berbanding 3.2% pada suku keempat 2019.

Ini menjadikannya kadar pengangguran tertinggi yang dicatatkan sejak suku kedua 2017, melibatkan 546,600 orang, kata Uzir.

Graduan merangkumi 29.3% daripada penganggur.

“Peningkatan kadar pengangguran disebabkan oleh kesan negatif daripada penguatkuasaan PKP.

“Pengangguran bagi golongan remaja berusia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar tertinggi (6.9%), diikuti oleh 31 hingga 45 tahun (1.4%) dan kumpulan umur 46 hingga 64 (1.1%).” – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen