Roslan Madun dan seni budaya yang mati


Meor Yusof Aziddin

Kesungguhannya Roslan Madun dalam mempertahankan seni warisan dan budaya dalam lagu berbentuk syair mahupun gurindam, tiada siapa pun yang mampu menidakkan. – Gambar The Malaysian Insight, 24 November, 2017.

“NEGARA tanpa seni dan budaya adalah negara yang mati!”

Itu ungkapan akhir pejuang lagu rakyat tanah air, Roslan Madun hasil temu bual santai dengannya baru-baru ini.

Roslan Madun bukan nama asing kalau kita memperkatakan tentang lagu-lagu rakyat. Kesungguhannya dalam mempertahankan seni warisan dan budaya dalam lagu berbentuk syair mahupun gurindam, tiada siapa pun yang mampu menidakkan.

Di setiap negara, ada lagu-lagu rakyat untuk bangsa itu sendiri. Folk song, itu ungkapan dalam Bahasa Inggerisnya, seperti lagu Twinkle Twinkle Little Star, yang masih dilagukan sehingga ke hari ini.

Biasanya lagu rakyat, melodinya simple dan mudah diingat. Penyanyi folk legenda dunia kelahiran Amerika, Woody Gutrie berlagu dalam nada yang protes dengan gitar tongnya memilih genre muzik folk dalam nada yang kritis seperti lagunya “This Land is Your Land”.

Apabila muncul Bob Dylan, lagu folk divariasikan melodi dan senikatanya sehingga mampu menjadi komersial sehinggalah ke hari ini.

Mula bergiat dalam bidang muzik dan nyanyian seumur 13 tahun, dengan menjadi penyanyi di majlis orang kahwin, Roslan Madun akhirnya menemui jati dirinya dengan memilih syair dan gurindam sebagai hala tuju muzik dalam berkarya.

Ditemuinya nilai agama dan ketuhanan dalam syair. Seperti katanya, “tersirat fardu ain dalam syair, ilmu tauhid dalam gurindam dan ilmu fikah dalam nazam”.

Seperti bait-bait Syair Perahu karya penyair legenda kelahiran Sumatera di abad ke -16, Hamzah Fansuri:

Wahai muda kenali dirimu,

Ialah perahu tamsil tubuhmu,

Tiadalah berapa lama hidupmu

Ke akhirat jua kekal diammu.

Mengakui terpaksa mempelbagaikan kerjaya seperti menjadi penulis skrip drama, pengacara, pengarang, penyanyi dan sebagainya kerana menjadi penyanyi lagu rakyat tidaklah mendatangkan keuntungan ringgit.

Sebenarnya nilai sastera dan budaya dalam jiwa orang kita itu semakin susut dan menguncup. Bertambah pula kurangnya sokongan pihak kerajaan apabila hampir tidak ada peruntukan untuk seni dan budaya dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini.

Subjek sastera dan budaya juga semakin dipinggirkan. Orang politik pula melihat seni hanya sebagai hiburan untuk halwa telinga semata.

Tidak hairanlah apa saja topik dan tema terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tak boleh jual dan anak-anak muda tidak menunjukkan rasa minat ke arah itu. Di mana silapnya?

Program kesenian yang dianjurkan juga hanya bersifat syok sendiri, meraikan dan puji memuji antara sesama mereka saja.

Maknanya mesej yang mahu disampaikan hanya berlegar di antara mereka saja, tidak sampai ke masyarakat.

Pelapis untuk lagu-lagu rakyat?

“Tidak ada pelapis, lagu-lagu rakyat hanya diterima dalam kalangan minoriti. Anak-anak muda ada yang minat,jumlahnya tak ramai, apatah untuk memperjuangkan irama ini kerana ia bersifat non konvensional.”

Sejak 1982 sehingga ke hari ini, sejumlah 18 album lagu rakyat berjaya beliau hasilkan. Bukankah itu satu pencapaian yang mengagumkan?

Dengan lagu-lagu rakyat juga beliau sering ke luar negara, mempromosikan Malaysia ke mata dunia. Melalui sponsor atau duit poket sendiri, demi nilai dan kecintaan beliau sanggup melakukan agar seni muzik syair dan gurindam Melayu itu tidak mati.

Roslan Madun penggiat seni muzik tradisional bebas atau D.I.Y (Do it Yourself), tidak bergantung kepada syarikat rakaman kerana melalui pengalaman, beliau sudah dikenali di seluruh dunia sebagai penggiat atau aktivisi seni yang gigih dan dedikasi.

Adakah beliau buat duit dengan 18 album yang sudah terhasil?

“Ia tidak menguntungkan daripada segi pulangan dan nilai ringgit, cuma lebih kepada promosi dan dari situlah peluang untuk memperkenalkan lagu-lagu rakyat lebih luas, seperti menjadi tenaga pengajar, bengkel, persembahan dan sebagainya.”

Seperti katanya lagi di akhir perbualan: “Negara tanpa seni dan budaya adalah negara yang mati!”

Yang pasti, nama Roslan Madun akan tetap diingati sebagai legenda dalam bidangnya sebagai pejuang lagu-lagu rakyat yang tidak akan mati. – 24 November, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen