Cabaran getir industri media konvensional


Zainal Rashid Ahmad

PENUTUPAN Blu Inc Media Sdn Bhd (BluInc) dengan notis 24 jam pada 30 April sangat mengejutkan. Sekelip mata 200 orang kehilangan pekerjaan.

BluInc sudah empat dekad beroperasi di negara ini dan menerbitkan lebih 20 judul majalah dalam tiga bahasa.

Secara lateral, BluInc ialah gergasi penerbitan majalah antarabangsa dan tempatan. Malah, yang paling berprestij di negara ini.

Di Malaysia, BluInc ditubuhkan secara usaha sama  dengan SPH Magazines. Memiliki rakan strategik Conde Nast, American Media Inc dan Weider and Hearst.

Pengumuman mendadak penutupan operasi BluInc lebih mengejutkan berbanding berita Kumpulan Utusan (KU) gulung tikar pada 9 Oktober, 2019.

Kes penutupan KU sudah dijangka lebih awal apabila Barisan Nasional tumbang pada 9 Mei, 2018.

Apalagi keadaan kewangan KU sudah tenat sejak 2013.

Ketika rakyat Malaysia masih “in  denial” untuk bercakap soal impak ekonomi, penutupan BluInc membuka realiti mengenai kesan ekonomi akibat Covid-19.

BluInc menyertai Esprit, jenama gaya hidup berkelas dunia, yang mengumumkan pada 29 April mengenai penutupan 56 cawangannya di Asia pada Jun ini.

BluInc syarikat terkemuka yang menerbitkan CLEO, Her World, Harper’s Bazaar, Cosmopolitan, Marie Claire, Jelita, Glam dan The Peak.

BluInc mengambil keputusan berundur tanpa menunggu hasil rundingan antara Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) dengan Facebook dan Google.

BluInc tiada kepentingan dalam hal ini. Malah, bukan ahli MNPA. Walaupun dalam kenyataan penutupannya, syarikat itu menyentuh mengenai pelaburannya dalam media digital.

BluInc mungkin sudah melihat potensi mendapatkan keputusan positif melalui perkongsian hasil iklan dengan Facebook dan Google sebagai “tidak mungkin ada kesudahan”.

Ketika ini secara perundangan, klausa bagi menentukan status antara hak pemilik kandungan atas talian dengan penguasaan enjin carian sangat samar. Berdasarkan status kes di Australia, Facebook dan Google kelihatan tidak akan mengalah.

Selamat jalan BluInc

Seperti nasib KU yang tragik kerana diisytiharkan bankrap pada genap 80 tahun penubuhan, BluInc ditutup ketika majalah utamanya Her World meraikan 60 tahun berada di pasaran.

“Walaupun kami telah meningkatkan pelaburan untuk membangunkan kemampuan digital, masih belum jelas sama ada kami berjaya meraih tarikan yang cukup ketika kerugian terus meningkat.”

Ini keputusan lembaga pengarah BluInc.

Keputusan ini tiada kaitan dengan alasan edaran menjunam kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Industri akhbar dan majalah sudah sedekad berada dalam ventilator akibat kemeruduman edaran.

PKP hanya tali pada garis penamat. Tanpa perlu melihat “photo finish”, industri akhbar dan media cetak sudah tewas sebelum sampai garis penamat.

PKP hanya melengkapkan kitaran hayat. Cetakan fizikal menemukan titik mati akibat perubahan tabiat pengguna.

Medium akses maklumat sudah berubah. Apabila media digital muncul, gaya hidup dipindahkan ke telefon pintar.

Malah, akses maklumat digital lebih meluas, terangkum, pantas dan memiliki komunikasi kepelbagaian trafik sosial.

Trend ini mematikan potensi akhbar dan media cetak untuk ikut serta dalam gaya hidup digital. Era dimana semua maklumat penting kehidupan manusia terserap dalam telefon pintar.

Bunyinya macam jenaka sarkastik. Namun, itulah realiti.

BluInc bersikap realistik. Tidak guna mengharapkan keajaiban berlaku kerana trend kerugian sudah memuncak tahun ke tahun sejak sedekad lalu.

Semakin banyak modal tunai ditambah untuk kos oksigen ventilator, angka kerugian akan berganda.

Apalagi ketika krisis Covid-19 kini menyebabkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi pada dua hingga tiga tahun mendatang.

Adex (angka unjuran) pengiklanan dijangka merudum melepasi 50% pengurangan pada tahun ini. Malah, akan tumbuh lembab pada tahun mendatang sejajar dengan kemelesetan ekonomi global.

Angka RM4 bilion hingga RM4.5 bilion nilai pengiklanan tidak lagi berada dalam pasaran Adex tempatan.

Media massa konvensional terpaksa menanggung kos operasi yang kekal tinggi ketika pendapatan iklan semakin merudum.

Dengan keadaan caj iklan akhbar dan media cetak kekal tinggi sejajar dengan kos operasi, pengiklan akan beralih ke platform digital.

Pada tahun lalu, Adex digital mencapai 28% penguasaan iklan. Angka penguasaan digital akan kekal melebar walaupun kek Adex secara keseluruhan akan menurun.

Pengiklan pasti memilih platform digital yang berkos rendah dan lebih fleksibel dalam mengendalikan operasi ketika period kemelesetan.

BluInc ialah kes pertama penutupan operasi media dalam period Covid-19. Sekaligus petanda, industri media cetak berada di hujung jalan.

Selepas ini, kecelaruan kewangan dan penurunan pendapatan iklan akan merebak ke industri akhbar. Malah, TV dan radio yang kini diklasifikasikan sebagai media konvensional akan turut mengalami kecelaruan lebih teruk.

Ketika kos operasi TV kekal tinggi dan pendapatan pengiklanan akan menjunam, persoalan utama ialah: adakah media konvensional mampu bertahan?

Kesedihan Margaret dan lenyapnya Her World

Editor Pengurusan BluInc Margaret Sebastian melahirkan rasa sedih dengan penutupan BluInc.

“Her World, majalah wanita berbahasa Inggeris tertua, dilancarkan pada Julai 1960 dan akan menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini.

“Ini adalah pengakhiran majalah yang menjadi pendamping kepada ramai wanita Malaysia selama beberapa dekad,” katanya.

Selain BluInc, berita sedih terus mendominasi industri media pada 30 April.

Advertising + Marketing Malaysia melaporkan, agensi pengiklanan BBDO Malaysia juga menutup pejabatnya di negara ini.

Ketua Pengarah Eksekutif BBDO Asia Jean-Paul Burge berkata syarikat itu kini menumpukan  perniagaan di China.

Kesedihan Margaret adalah sebak yang dialami industri akhbar dan media cetak sejak sedekad lalu. Hari ini bermula detik untuk benar-benar menangis.

Selama ini, sikap “in denial” menyebabkan pemain industri masih percaya, akhbar dan majalah akan kembali menikmati zaman masyhur seperti dekad 90-an.

Pada 2010, edaran akhbar Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 (-21%) dalam tempoh 2005-2009.

Sebelum ditutup pada 9 Oktober 2019, edaran Utusan Malaysia hanya sekitar 60,000 cetakan.

Dalam tempoh sembilan tahun terakhir, Utusan Malaysia kehilangan 100,000 pembaca.

Trend yang sama dialami akhbar arus perdana seluruh negara. Selepas Covid-19 kesannya pasti lebih dahsyat.

Pasaran iklan yang menjadi penyumbang utama kepada media konvesional akan menguncup. Malah, mencecah paras mematikan bekalan oksigen ke ventilator.

Tanpa “tuan” berduit apalah media

Realitinya industri media dan akhbar, sama ada di Britain atau Amerika Syarikat, seperti CNN atau Bloomberg – semuanya memiliki “tuan”.

Akhbar Washington Post dimiliki Jeff Bezos pengasas Amazon – individu terkaya di dunia.

Akhbar South China Morning Post dimiliki Jack Ma, individu terkaya di China.

Syarikat media Bloomberg dimiliki Michael Bloomberg, individu ke-9 terkaya di dunia.

Kedudukan media yang dikuasai tuan yang kaya lebih bernasib baik. Ini kerana bagi bilionaire dunia, media hanya alatan mengukuhkan pengaruh.

Bezos, Jack Ma dan Bloomberg menggunakan bisnes media sebagai pelaburan menguasai bisnes lain yang lebih menguntungkan.

Menurut kajian PwC, perbelanjaan iklan masih didominasi media cetak. Namun, kadar pertumbuhan iklan digital lebih pantas dan mencapai 16% setahun. Sedangkan media cetak tumbuh pada kadar amat perlahan sekitar 2.1%.

Di Amerika Syarikat, 7,800 pekerja media diberhentikan pada 2019. Antara syarikat yang terkesan teruk termasuk CNN, Vice dan Verizon Media.

Platform media digital lebih produktif dengan kos operasi lebih kecil. Selain kelebihan berada dalam gaya hidup telefon pintar.

Bangun dan jangan “in denial”

Secara realiti tanpa membiarkan fikiran dilingkari sikap “in denial”, media cetak sebenarnya sudah sampai ke hujung hayat. Manakala TV dan radio akan diuji teruk dengan kemuncupan perolehan iklan akibat krisis kemelesetan ekonomi.

Media konvensional kini berdepan dengan hakikat: “Anda berubah atau anda mati”.

Sekiranya memilih untuk kekal di takuk lama kerana idealisme perniagaan dan falsafah media yang mengikat, ia ibarat kucing tanpa bulu di tengah timbunan salji tebal.

Sedihnya – bisnes akan mati perlahan-lahan dalam keadaan penuh penderitaan.

Sekiranya memilih untuk berubah dengan meluaskan falsafah perniagaan agar relevan dengan cabaran persekitaran, ia memberikan mata dius untuk meneruskan pertarungan.

Apa pun, pastikan langkah mengukuhkan pasukan pengurusan diutamakan. Jangan mencarum beban dengan individu yang menjadi parasit dan tidak kompeten.

Kecelaruan pasukan pengurusan antara krisis yang telah dan sedang membunuh survival industri media hari ini.

Seterusnya, pasukan pengurusan perlu berani melaksanakan idea baharu serta bersedia menguruskan risiko dengan bijak dan berani.

Penerokaan idea-idea konstruktif serta mengukuhkan kebersamaan bekerja sebagai satu pasukan, antara jalan keluar ketika berdepan cabaran getir kali ini.

Ingat, badai kemelesetan ekonomi yang melanda dunia hari ini mampu mengubah apa saja.

Sekiranya Gunung Everest di Asia Selatan wujud sebagai entiti perniagaan – puncaknya mungkin ditemui di Sahara Afrika selepas berakhir krisis kemelesetan ini.

Begitulah dahsyatnya realiti cabaran perniagaan media kali ini. – 3 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen