Keadaan di Mesir terkawal, ibu bapa pelajar diminta bertenang


Pihak kedutaan Malaysia di Mesir sentiasa membantu pelajar menghadapi pandemik dan berharap ibu bapa sentiasa memberi sokongan agar semuanya berada dalam keadaan baik. – Gambar EPA, 1 Mei, 2020.

IBU bapa penuntut di Mesir dinasihat bertenang dan tidak terburu-buru untuk membawa anak-anak mereka pulang ke tanah air, kata Duta Malaysia ke Mesir Mohd Haniff Abd Rahman.

Beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini, kerana Mesir juga melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 dan keadaan masih terkawal berbanding negara lain.

Katanya, pihak kedutaan sentiasa bersama-sama membantu pelajar menghadapi pandemik dan mengharapkan ibu bapa sentiasa memberi sokongan serta berdoa agar semuanya berada dalam keadaan baik dan tenang serta lancar.

“Selagi pelajar serius mematuhi arahan Kedutaan Malaysia di Kaherah (KBMK) dan sentiasa amalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta elak berada di kawasan berisiko tinggi, insya-Allah semua akan selamat.

“KBMK sentiasa memantau keadaan pelajar Malaysia di Mesir dan berhubung rapat dengan mereka dari semasa ke semasa melalui pejabat Education Malaysia Egypt (EME) dan wakil Atase Pendidikan negeri untuk memastikan keselesaan dan keperluan harian mereka dijaga,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Haniff berkata penuntut turut menerima bantuan bekalan makanan, minuman, serta lain-lain keperluan asas, disumbangkan kerajaan, Majlis Agama Islam dan Pejabat Zakat negeri masing-masing melalui Atase Pendidikan. 

Ditanya mengenai lanjutan darurat di seluruh negara yang diumum Presiden Abdel-Fattah al-Sisi, selama tiga bulan, beliau berkata perkara itu amalan biasa dilaksana kerajaan Mesir sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata amalan perintah darurat itu bermula sejak 2017 dan antara inisiatif kerajaan untuk membendung aktiviti keganasan di negara berkenaan. 

“Ini (pengumuman) tiada kaitan dengan penularan Covid-19 dalam negara dan sehingga hari ini, seluruh Mesir masih di bawah darurat ,” katanya.

Duta itu turut menyarankan pelajar kekal di Mesir sepertimana nasihat dikeluarkan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan rekod KBMK, ada seramai 10,360 rakyat Malaysia di Mesir dan 10,160 daripadanya pelajar yang menuntut di tujuh universiti tempatan, selebihnya pegawai kedutaan, tenaga kerja mahir dan keluarga masing-masing.

Haniff berkata terdapat sejumlah penuntut Malaysia yang telah pulang ke tanah air melalui empat pesawat sewa khas, diuruskan syarikat persendirian dengan ditanggung sendiri pelajar.

“Sehingga 27 April, jumlah terkini pelajar Malaysia yang masih berada di Mesir seramai 8,569 orang,” katanya.

Haniff turut menasihatkan penuntut yang ditaja mendapatkan kebenaran penaja masing-masing sebelum pulang ke tanah air.

“Sebarang maklumat atau pencerahan mengenai usaha yang dijalankan kerajaan Malaysia melalui KBMK, pelajar boleh menghubungi pegawai kedutaan Zainal Zainuddin ​​+2010 0343 0445, Mohamad Nizam Rosli​+2010 0366 1098, ASP Ab Azis Hassan​​+2010 0359 3244 atau emel di [email protected]. – Bernama, 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen