Kita jaga kita, jangan biar Kitol jaga Kitol saja


Salhan K. Ahmad

Langkah buka semula negara perlu dilakukan secara hati-hati kerana perang belum selesai walau angka kes baharu menunjukkan Covid-19 terkawal dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 April, 2020.

LANGKAH untuk membuka semula negara perlu dilakukan secara hati-hati kerana perang masih belum selesai walau angka kes baharu menunjukkan Covid-19 terkawal dalam negara.

Kita tidak mahu jumlah jangkitan memuncak semula dan merosakkan benteng pertahanan yang dikawal begitu rapi selama ini oleh pasukan kita.

Ia boleh berlaku sedemikian jika ada Si Kitol membuat onar dalam perang ini dan menyebabkan jumlah jangkitan Covid-19 kembali memuncak.

Kita tidak mahu tindakan dilakukan secara tergesa-gesa untuk membenarkan industri beroperasi semula secara besar-besaran dan meningkatkan risiko penularan.

Kita tidak mahu cerita sama berulang kembali, seperti kes membuka kedai gunting yang kemudiannya dibatalkan.

Kita tidak mahu ada menteri berkokok menyuruh pekerja disaring beramai-ramai sebelum dibenarkan bekerja sedangkan kit ujian pun tidak cukup.

Kita hairan apabila mendengar banyak sektor dibenarkan beroperasi dengan kekuatan penuh, sedangkan pekerja tidak boleh bertugas kerana pusat jagaan anak dan juga sekolah belum dibuka.

Sudah 100 nyawa orang kita terkorban kerana Covid-19. Tidak perlu ditambah lagi dengan dasar, garis panduan, dan peraturan yang buruk dan dilihat berat sebelah.

Pelan untuk membuka semula negara ini memerlukan penelitian rapi. Setiap saranan tidak wajar berlandaskan kajian sewenang-wenang.

Pembukaan kilang dan perusahaan bermakna pergerakan ramai orang. Individu yang berisiko berpotensi menyebarkan virus ini kepada rakan sekerja, pelanggan dan orang ramai.

Kita tidak mahu ada Si Kitol yang sanggup membuka ruang kepada desakan pemodal yang kini sakit kepala kerana berdepan risiko muflis semata-mata.

Kita tidak mahu ada Si Kitol yang tergesa-gesa mahu membuka semula perusahaan dan sektor tanpa mengira padahnya.

Kita juga tidak mahu Si Kitol ini hanya cenderung menyelamatkan pemodal besar dari kerugian tetapi kedekut untuk membelanjakan duit cukai bagi menyelamatkan rakyat.

Kita tidak perlu menanggung kerugian pemodal yang hanya ketagih melihat gerak-geri ayam tambatan mereka di pasaran saham.

Tahi judi ini pun satu jenis Si Kitol juga yang hanya mengutamakan keuntungan supaya lebih kaya.

Golongan ini sentiasa mahu bertaruh pada syarikat untung dan mengalihkan wang tagan mereka apabila berasa akan kerugian, sewaktu umat manusia mati beramai-ramai diserang kuman.

Contohnya ke atas Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, pengeluar alat bantuan pernafasan – satu alat yang amat diperlukan oleh negara seluruh dunia waktu wabak ini.

Menurut Bloomberg, sahamnya syarikat itu naik 40% pada awal bulan ini dan membolehkan pengerusinya Li Xiting, orang paling kaya Singapura, menimbun harta sebanyak AS$3.7 bilion, menjadi AS$12.7 bilion.

Pandemik Covid-19 itu membolehkannya menjadi antara lima orang kaya yang paling banyak membuat untung ketika wabak ini menganas.

Pada masa sama, kita perlu berhati-hati ke atas pihak yang menangguk di air keruh dan kemudian mendabik dada kononnya seorang perwira mempertahan negara daripada diserang wabak.

Kita perlu terus berwaspada dan memerhati kerajaan supaya tiada Si Kitol yang membuat onar dan merosakkan gerak atur perang dan meruntuhkan benteng pertahanan kita.

Lebih-lebih lagi ke atas Si Kitol yang tidak mendapat mandat dari rakyat untuk mentadbir negara. – 30 April, 2020.

* Salhan K Ahmad anggota sidang redaksi The Malaysian Insight. E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen