BILANGAN kes harian jangkitan Covid-19 di Bosnia naik mendadak bulan ini selepas perintah berkurung di dua wilayah autonominya dilonggarkan.
Sebanyak 93 kes baharu dan dua kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam berbanding 20 kes pada Selasa, lapor Reuters.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Bosnia setakat ini naik kepada 1,677 dengan 65 kematian.
Persekutuan Bosnia dan Herzegovina dan Republik Srpska melaksana perintah berkurung bulan lepas bagi mengekang jangkitan, termasuk melarang sama sekali individu berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak bawah 18 tahun keluar rumah.
Republik Serbia membenarkan warga tua keluar rumah untuk tiga jam dan perniagaan menyambung semula operasi sejak Isnin. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih melarang perhimpunan dan penduduk diwajibkan memakai topeng muka sepanjang masa.
Sebanyak 59 kes baharu dilaporkan semalam.
Lapan peratus daripada individu yang menjalani ujian Covid-19 di wilayah itu disahkan positif dalam tempoh 24 jam, naik 5% berbanding Selasa.
“Kenaikan peratusan kes positif menunjukkan individu kurang berdisiplin mematuhi langkah pengekangan,” kata Menteri Kesihatan Republik Srpska Alen Seranic dipetik Reuters.
Persekutuan Bosnia dan Herzegovina pula menarik balik perintah berkurung waktu malam dan arahan kuarantin wajib pada Jumaat lalu. Warga tua dan kanak-kanak juga dibenarkan keluar rumah selama beberapa jam setiap dua hari.
Ibu pejabat pengurusan bencana wilayah itu semalam memutuskan untuk mengenakan semula perintah berkurung waktu malam sepanjang cuti tiga hari Hari Buruh dan melarang perhimpunan melebihi 5 orang.
Selain itu, semua perniagaan borong dan kedai runcit termasuk salun kecantikan akan dibuka bermula 1 Mei. Setiap pemilik kedai dikehendaki menyediakan pembasmi kuman kepada pelanggan dan membasuh premis masing-masing sehari sebelum dibuka. – 30 April, 2020.
Komen