PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Bosnia untuk membayar pampasan terhadap mangsa rogol semasa perang dan menyediakan penjagaan perubatan dan rawatan psikologi percuma.
Sebuah organisasi perundangan (NGO) Trial International membantu memfailkan aduan kepada jawatankuasa PBB (CAT) selepas mangsa memenangi kes di mahkamah Bosnia pada tahun 2015 tetapi tidak pernah menerima pampasan sebanyak AS$16,500 kerana perogolnya tidak mempunyai dana untuk membayar.
Sebuah statut kemudian menghalangnya daripada memfailkan kes sivil untuk memohon negara itu untuk membayar pampasan tersebut.
Dalam keputusan awal yang dipos di laman web NGO Trial, jawatankuasa PBB berkata Bosnia “gagal memenuhi kewajipannya ... dengan gagal memberi pengadu ganti rugi termasuk pampasan yang adil dan memadai”.
Jawatankuasa itu turut berkata kerajaan kini perlu memastikan “pampasan yang cepat, adil dan memadai” kepada mangsa, serta “penjagaan perubatan dan psikologi” serta-merta dan secara percuma.
Bosnia juga dikehendaki “memohon maaf secara rasmi kepada awam”, kata jawatankuasa tersebut.
Trial International memuji keputusan itu dan menyifatkannya sebagai “sangat penting.”
“Ini adalah keputusan pertama oleh CAT yang berkaitan dengan mangsa keganasan seksual yang berkaitan dengan konflik,” penasihat undang-undang kanan NGO di Sarajevo, Adrijana Hanusic Becirovic, dipetik sebagai berkata.
Keputusan itu juga menggesa Bosnia untuk membentuk skim nasional bagi semua mangsa jenayah perang, termasuk keganasan seksual.
Seramai 20,000 wanita dianggarkan telah diperkosa semasa perang saudara Bosnia sepanjang 1992-1995. – AFP, 2 September, 2019.
Komen