Kenapa kita tewas dalam perang dadah


Low Han Shaun Briana Leong

Trend penagih dadah dunia semakin meningkat akibat daripada akses mudah kepada dadah dan bahan psikoaktif baharu. – Gambar EPA, 23 November, 2017.

MALAYSIA kini turut menjadi sebahagian trend dalam peningkatan penagih dadah dunia, akibat daripada akses mudah kepada dadah dan bahan psikoaktif baharu digunakan untuk mencipta narkotik yang tidak sah di sisi undang-undang.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkata lonjakan itu menyebabkan peningkatan jumlah penagih daripada 15,101 pada 2012 kepada 30,844 tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata masalahnya bukan pada penguatkuasaan tetapi pengedar menipu pihak berkuasa.

Sebagai contoh, bahan psikoaktif baharu (NPS) disintesiskan menjadi “dadah baharu”, seperti sintetik kanabinoid dan dadah halusinogen, yang menyerupai kesan dadah seperti kokain, kanabis dan ekstasi.

“Trend dadah juga berubah daripada dadah berasaskan opiate (heroin, morfina, marijuana) yang menjadi depresi kepada dadah berasaskan amfetamina (ekstasi, amfetamina, pil yaba) yang memberi rangsangan,” katanya.

Itu menyebabkan peningkatan NPS atau dadah yang direka untuk meniru kesan bahan haram berkenaan. NPS diketahui sebagai “kesan khayal dibenarkan” di United Kingdom sehinggalah Akta Bahan Psikoaktif 2016 dikuatkuasakan.

“Pengedar dadah kini mengatasi pihak berkuasa dengan memperkenalkan NPS baharu setiap hari, di mana ia tidak salah daripada perspektif undang-undang kita,” kata Dr Halim.

Agak mustahil untuk mengharamkan penggunaan NPS kerana sebahagian bahan kimia di dalamnya digunakan secara sah untuk tujuan perubatan dan industri.

“Jadi, kami tidak boleh haramkan semua NPS, kita perlu memahami apa itu dadah, ia tidak mudah untuk sekadar menyenaraikannya.

“Kebanyakan bahan dalam NPS adalah sah, jadi pengedar beli bahan itu dan campur ia di sini di dalam negara dan itu menjadikan dadah itu haram.”

Sementara pihak berkuasa bekerja keras memerangi penyebaran dadah haram, perjuangannya itu terhalang oleh permintaan dunia.

“Dadah ini merangsang tingkah laku anda, corak emosi dan kognitif dan itu sebabnya ada penagih yang bertindak ganas,” kata Dr halim.

Pada 2012, AAKD mendaftarkan 725 penagih berdasarkan amfetamina tetapi jumlahnya meningkat 3,395 pada 2016.

 

Pengguna juga semakin muda kerana pengedar semakin agresif.

Sarah, 25, (bukan nama sebenar) dari Selangor menggunakan NPS, Molly sebagai ganti kepada ekstasi dan membelanjakan RM100 hingga RM200 sebulan.

“Saya ambil empat Molly pada hujung minggu jika berdepan masalah. Kawan-kawan saya tahu saya ambil dadah, tetapi ibu bapa saya tidak tahu. Ramai kawan saya ambil dadah.”

Sarah berkata dia biasanya makan pil itu di rumah atas “sebab keselamatan” dan pengguna dadah itu akhirnya akan tahu betapa susahnya menghentikan ketagihan itu.

“Dadah pertama yang saya ambil ialah marijuana di Australia. Saya dapat pil daripada kawan kepada kawan yang kenal pengedar. Susah untuk dapat dadah jika anda tidak kenal seseorang yang kenal pengedar.

“Salah tanggapan paling besar ialah pengguna dadah mudah mengawalnya. Kebanyakan pengguna tidak tahu kesannya.

“Salah guna dadah bukan tentang ketagihan kimia saja, tetapi ia membabitkan keperluan psikologikal untuk lebih khayal lagi,” katanya.

Seorang lagi penagih Robin, 27, (bukan nama sebenar) mengambil marijuana dan happy5, satu lagi NPS untuk ekstasi.

“Dadah ini menenangkan rasa cemas saya, saya belanja RM300-RM400 setiap tiga bulan bergantung pada harganya.

“Contohnya pada musim perayaan dan serbuan dadah, harganya akan naik. Sekarang saya mula menggunakan ekstasi, perbelanjaan naik RM300 sebulan,” katanya yang juga seorang pegawai bank pelaburan.

Ironinya, Robin kali pertama terjebak dalam dunia dadah ketika dia bercakap dengan rakannya tentang masalah sosial belia di sebuah taman.

“Ia bermula ketika saya 19 tahun. Saya ambil marijuana kali pertama ketika kami di taman bercakap tentang masalah sosial remaja.

“Kawan saya ajak cuba,” katanya.

Katanya, dia tidak kisah kesan jangka panjang penggunaan dadah itu selagi dia mampu mengawal ketagihannya.

Jumlah ketagihan meningkat kerana kadar berulang yang tinggi. Menurut agensi itu, purata 37% penagih akan kembali menagih selepas rawatan setahun mereka.

Statistik menunjukkan pada 2012, seramai 4,800 kembali menagih berbanding 7,921 pada 2016.

Jumlah penagih baharu juga meningkat daripada 10,301 kepada 22,923 dalam tempoh sama. Statistik 2016 termasuk jumlah penagih berulang.

“Mereka mengalami penyakit berulang yang kronik. Jadi walaupun mereka pergi rawatan pemulihan dan sembuh, potensi untuk ia berulang amat tinggi,” kata Dr Halim.

Sehubungan itu, kerajaan baru-baru ini meluaskan skop pemulihan AADK kepada program pemulihan masyarakat untuk penagih.

Katanya, rawatan pemulihan setahun akan dinaikkan kepada dua tahun.

“Jika anda nampak sesiapa ketagih dadah, tolong bawa mereka untuk rawatan, jangan biarkan saja begitu. Usaha sudah ada, kami perlukan masyarakat bekerjasama dengan kami untuk memerangi dadah,” katanya. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen