Saya dah lupakan masa lalu, kata Razak Baginda


BEKAS penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan kini disiasat berhubung skandal kapal selam Scorpene, berkata beliau sudah “melupakan masa lalu”.

“Anda tahu dalam peringkat hidup saya sekarang, saya sudah tidak peduli.  Saya sudah tidak kisah sangat semua ini, semuanya serah pada peguam,” katanya kepada BFM dalam satu temu bual di radio itu untuk mempromosikan badan pemikirnya yang baharu, ICON Centre for Global Affairs.

Razak ditanya oleh penyampai radio Melisa Idris yang memintanya mengulas tentang “pandangan mahkamah umum” terhadap dirinya.

“Saya tahu apa yang saya buat dan saya tidak buat. Beginilah ya, saya harap saya dapat simpulkan perkara ini, kalau saya jadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah Nobel sekalipun, 90% beritanya ialah kes pembunuhan itu, urus niaga kapal selam.

“Dan ayat terakhirnya ialah ‘di samping itu, Razak baru saja memenangi anugerah Nobel’. Kalau saya berdiri di puncak gunung dan menjerit pun, ia tidak akan jadi apa-apa sebab orang ramai sudah buat keputusan,” katanya.

Razak didakwa bersubahat dengan dua pegawai polis, cif inspektor Azilah Hadri dan korporal Sirul Azhar Umar, dalam pembunuhan Altantuya pada 2006. Beliau dibebaskan sementara Azilah dan Sirul dijatuhi hukuman mati.

Pada Ogos, kerajaan Perancis mengumumkan ia melancarkan siasatan terhadap Razak kerana “terbabit dalam rasuah secara aktif dan pasif” dan “penyelewengan aset korporat”, berkaitan penjualan kapan selam Scorpene kepada Malaysia.

“Saya sudah tidak kisah. Saya hanya seseorang yang mahu teruskan hidup. Dan jika ada sesiapa mahu mengingatkan tentang masa silam saya, dengan apa juga cara saya akan tinggalkan anda di belakang dan saya maju ke depan,” katanya. – 23 November, 2017.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen