SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat Bernama Radio, stesen berita radio milik agensi berita nasional, berhubung wawancara dengan seorang pemimpin badan masyarakat mengenai pelarian etnik Rohingya di Malaysia, minggu lalu.
Suruhanjaya itu memberitahu The Malaysian Insight, ia maklum tentang wawancara berkenaan dan akan menelitinya.
“SKMM akan meneliti dan menyiasat kandungan wawancara itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa semua saluran penyiaran tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1999 serta kod kandungan,” kata SKMM dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Kod kandungan SKMM antara lain melarang ucapan bernada kebencian yang merendah-rendahkan, memfitnah atau menjatuhkan seseorang atau kumpulan berdasarkan kaum dan etnik.
Pada Khamis lepas, Bernama Radio mewawancara pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia, Halim Ishak. Wawancara itu turut dimuat naik ke Facebook namun sudah dipadamkan.
Dalam wawancara itu, Halim dilapor menggambarkan pelarian Rohingya sebagai pengotor, pembawa masalah, serta menganggap mereka tidak beradab berbanding masyarakat Orang Asli di Malaysia yang katanya lebih tahu adab.
Awal hari ini, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata polis akan menyiasat semua kenyataan dan pengucapan berbaur kebencian terhadap pelarian Rohingya, yang muncul di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Kedatangan Rohingya ke negara kita bukan baru semalam tetapi telah pun bertahun-tahun sebelum ini. Sebelum ini tidak timbul pun isu sebaliknya mendapat simpati.
“Tetapi akhir-akhir ini, sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan), tiba-tiba isu ini menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak polis.
“Pihak polis sedang menyiasat perkara ini,” katanya.
Sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya dikesan selepas pihak berkuasa keselamatan berjaya menyekat percubaan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan negara, lebih kurang 130 km dari Pulau Langkawi, pada 16 April lalu.
Tindakan itu dikritik oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia serta wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen sebagai tidak berperikemanusiaan.
Susulan itu, pelbagai kenyataan dan ucapan berbaur perkauman dan kebencian di media sosial yang mengecam pelarian Rohingya mula tersebar di media sosial.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan kelompok Rohingya di Malaysia kini hidup dalam ketakutan diancam nyawa dan keselamatan susulan sentimen kebencian yang ditiup terhadap mereka kebelakangan ini. – 27 April, 2020.
Komen