Kami hidup dalam ketakutan, kata pelarian Rohingya


Alfian Z.M. Tahir

Komuniti Rohingya yang dilihat berada di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. Mereka kini hidup dalam ketakutan selepas adanya komen dan ancaman exnofobik terhadap mereka di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

KOMUNITI Rohingya di Malaysia bimbang akan keselamatan mereka dan kini hidup dalam ketakutan berikutan komen dan ancaman exnofobik terhadap mereka di media sosial.

Pemimpin kumpulan Rohingya dan aktivis memberitahu The Malaysian Insight bahawa ini kali pertama komuniti perlarian tanpa kewarganegaraan merasa tidak selamat di Malaysia – sebuah negara yang majoritinya beragama Islam.

“Sudah tentu kami bimbangkan keselamatan kami. Saya tinggal di sini selama 31 tahun dan tidak pernah merasa tidak selamat seperti sekarang,” kata Abdul Ghani, 50, seorang guru sekolah Rohingya yang berpusat di Ampang.

Beliau berkata komuniti itu tidak pernah menuntut bantuan daripada kerajaan Malaysia seperti yang didakwa di media sosial.

“Kami tahu kedudukan kami. Kami bersyukur dengan apa yang sudah dilakukan Malaysia untuk kami, negara ini sudah melayan kami dengan baik selama beberapa dekad, kenapa kami mesti menuntut apa sahaja.

“Terdapat salah faham tentang kami dan salah tanggapan kami disebar dengan cepat. Setiap daripada kita menghormati dan menjaga keharmonian negara di sini, kita tidak berminat untuk mencampuri urusan politik.

“Apa yang kita mahukan hanyalah penempatan semula ke negara ketiga dan ditangani oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tidak ada perkara seperti mahu kewarganegaraan atau hak yang sama di Malaysia. Itu tidak masuk akal,” katanya.

Ghani sudah memohon penempatan semula ke Amerika Syarikat dan kini sedang menunggu kelulusan.

“Jika saya pergi ke Amerika Syarikat, saya akan terlalu rindukan Malaysia.

“Saya sudah berada di sini selama 30 tahun. Dari bekerja di ladang di Kuala Berang hingga mengelap cermin di menara berkembar dan membina Matrade Convention Center di Jalan Duta. Ini rumah saya.

“Tetapi saya hanyalah pelarian yang berusaha hidup dengan aman dalam kalangan orang-orang yang aman,” katanya.

Ghani tinggal di Ampang bersama isteri dan tiga anaknya.

“Walaupun ada ancaman saya bersyukur kerana penduduk di Ampang melayan kami dengan baik.

“Mereka mengenali kami dan setakat ini kami selamat dari sebarang bahaya,” katanya.

Komuniti Rohingya menjadi sasaran dalam talian baru-baru ini selepas salah seorang pemimpin masyarakatnya – Zafar Ahmad – didakwa menuntut kewargangearaan penuh untuk komuniti itu dan membuat kenyataan tidak baik tentang orang Melayu di laman Facebooknya.

Zafer yang mengaku sebagai presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Myanmar Rohingya Malaysia (Mehrom) menafikan membuat tuntutan tersebut.

“Kenyataan itu menjadi tular dan mendatangkan kecaman dan ancaman terhadap saya, keluarga saya, ahli jawatankuasa Mehrom dan pelarian Rohingya secara umum.

“Saya harap saya dapat selesaikan salah faham ini. Saya tidak pernah kata apa yang dituduh di media sosial,” katanya dalam satu video pendek yang dimuat naik di Facebooknya. – 27 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen