POLIS akan menyiasat semua kenyataan dan pengucapan berbaur kebencian terhadap pelarian Rohingya, yang muncul di media sosial sejak beberapa hari lalu, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Siasatan itu termasuk menentukan kesahihan rakaman video dan audio yang tersebar, katanya.
“Saya pun hairan. Kedatangan Rohingya ke negara kita bukan baru semalam tetapi telah pun bertahun-tahun sebelum ini. Sebelum ini tidak timbul pun isu sebaliknya mendapat simpati.
“Tetapi akhir-akhir ini, sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan), tiba-tiba isu ini menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak polis.
“Pihak polis sedang menyiasat perkara ini. Ada juga menganggap sesetengah video dan audio adalah palsu. Tetapi tiada siapa boleh menentukan ia palsu atau tidak, kecuali polis,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai perintah kawalan pergerakan di Putrajaya, hari ini.
Sementara siasatan berjalan, Ismail meminta rakyat agar bertenang dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh memburukkan keadaan.
“Saya harap rakyat tolong bertenang, jangan timbulkan isu yang boleh membangkitkan kemarahan dan akhirnya boleh mencetuskan sesuatu yang tidak diingini,” katanya.
Sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya mula dikesan di media sosial tidak lama selepas pihak berkuasa keselamatan berjaya menyekat percubaan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan negara, lebih kurang 130km dari Pulau Langkawi, pada 16 April lalu.
Tindakan itu dikritik oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia serta wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen sebagai tidak berperikemanusiaan.
Susulan itu, pelbagai kenyataan dan ucapan berbaur perkauman dan kebencian di media sosial yang mengecam pelarian Rohingya mula tersebar di media sosial, termasuk melalui program bual bicara di saluran radio agensi berita nasional Bernama.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan kelompok Rohingya di Malaysia kini hidup dalam ketakutan diancam nyawa dan keselamatan susulan sentimen kebencian yang ditiup terhadap mereka kebelakangan ini. – 27 April, 2020.
Komen