Kes Covid-19 meningkat, Sri Lanka lanjut perintah berkurung 


Sri Lanka pada hari Ahad merekodkan 460 kes positif dengan tujuh kematian. – Gambar EPA, 26 april, 2020.

SRI Lanka membatalkan rancangan menghentikan perintah berkurung pada hari Isnin, dan melanjutkan perintah itu selama seminggu lagi setelah kes jangkitan Covid-19 meningkat termasuk di pangkalan tentera laut.

Dalam beberapa jam setelah mengumumkan bahawa perintah yang dikuatkuasa di seluruh negara sejak 20 Mac lalu akan dihentikan, kerajaan sebaliknya mengumumkan lanjutannya sehingga 4 Mei depan.

Pegawai kesihatan mengatakan terdapat peningkatan kes, termasuk di daerah berpenduduk padat di ibu kota Colombo di mana 81 orang diuji positif.

Terdapat juga peningkatan jumlah tentera laut yang dijangkiti virus itu di pangkalan tentera laut Welisara melibatkan 65 orang, kata pihak tentera.

Seluruh pangkalan tentera laut di pinggir bandar Colombo di Welisara di mana 4,000 tentera dan keluarga mereka tinggal ditempatkan dikuarantin akhir minggu lalu setelah 30 tentera diuji positif Covid-19.

Seorang pegawai di kem tersebut meninggal dunia pada malam Sabtu namum punca kematiannya adalah leptospirosis atau “kencing tikus”, kata jurucakap tentera laut Isuru Suriyabandara. 

Negara pulau itu pada hari Ahad melaporkan 460 kes positif dengan tujuh kematian. – AFP, 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen