Lelaki Myanmar curi bawang dipenjara 2 bulan, denda RM3,600


“AMBIL bawang banyak-banyak nak buat kenduri ke,” tanya seorang majistret sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,600 ke atas seorang lelaki warga Myanmar yang mengaku bersalah memecah masuk sebuah pasar raya, dua minggu lepas.

“Kamu ambil 45 guni bawang, tetapi polis hanya jumpa enam guni bawang, jadi mana bawang selebihnya,” kata Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali yang turut bertanyakan mengapa tertuduh mengambil bawang dalam kuantiti banyak.

Tertuduh, Ali Kasin, 27, yang tidak bekerja bagaimanapun berkata ketika kejadian dia berada dalam keadaan mabuk dan memberitahu mahkamah dia telah menjual 39 guni bawang pada harga RM15 seguni.

Disoal majistret bagaimana tertuduh membawa 45 guni bawang dengan satu troli, lelaki itu menjawab: “Tiga kali saya tolak troli untuk ambil bawang”.

Fardiana Haryanti turut menasihati tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama walaupun berada dalam keadaan mabuk.

“Ini kali pertama, saya tengok orang curi bawang dalam kuantiti banyak, ‘legend’ betul ni curi bawang… mabuk macam mana pun, saya harap kamu cuba kawal dan jangan pecah masuk rumah atau premis orang,” katanya.

Kedengaran beberapa orang awam yang berada di dalam mahkamah berkata: “Bawang mahal sekarang ini”.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dipenjara dari tarikh tangkap pada 14 April dan dipenjara sebulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ali didakwa memecah masuk ke dalam pasar raya di Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Sentul di Kuala Lumpur, pada 1.05 pagi, 11 April lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – Bernama, 23 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen