Putrajaya timbang kemungkinan gabung MAS-AirAsia, kata laporan


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dipetik Reuters berkata penggabungan tersebut antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2020.

PUTRAJA sedang menimbang kemungkinan menggabungkan Malaysia Airlines dan AirAsia untuk menyelamatkan dua syarikat penerbangan itu yang terjejas teruk akibat Covid-19, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Azmin dipetik Reuters berkata penggabungan tersebut antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan.

Beliau turut berkata perbincangan mengenai pilihan menyelamatkan  Malaysia Airlines dan AirAsia sudah dijalankan sejak tahun lalu.

“Perbincangan sudah berjalan sejak tahun lepas, sebelum pandemik ini tercetus lagi. Perbincangan perlu diteruskan,” Azmin dipetik sebagai berkata dalam temu bual bersama Reuters.

“Kita perlu melihat kaedah terbaik untuk menyelamatkan dua syarikat penerbangan ini, dan ia tidak mudah. Situasi sekaran ini begitu teruk, tiada penerbangan.Kita perlu duduk berbincang bagaimana masalah ini boleh diselesaikan.”

Industri penerbangan di serata dunia berdepan masalah susulan sempadan antarabangsa dan ruang udara ditutup untuk mengekang wabak Covid-19. – 17 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen