Pembelajaran dalam talian pada masa krisis Covid-19


PENULARAN wabak Covid-19 memberi impak kepada pelbagai sektor termasuk juga sektor pendidikan.

Kebanyakan negara telah mengarahkan penutupan sementara institusi pendidikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penyebaran pandemik Covid-19. 

Sehingga 14 April, penutupan sekolah telah dilaksanakan di 192 buah negara dan lebih daripada 1.5 bilion pelajar terjejas.  

Kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 28 April dan semua sekolah dan institusi pendidikan diarahkan tutup sehingga dimaklumkan kelak.

Keputusan penutupan sekolah di banyak negara pada masa yang sama dijangka akan menyebabkan gangguan besar-besaran terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta memberi kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan walaupun penutupan itu hanya sementara. 

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 mungkin memberi peluang kepada kita untuk melihat semula dan mengubah sistem pendidikan yang ada untuk mendidik anak-anak kita dengan lebih baik pada masa hadapan. 

Trend pendidikan global

Ketika ini, ia menjadi cabaran kepada kerajaan di seluruh dunia bagi memastikan pembelajaran pelajar boleh diteruskan walaupun tidak hadir ke sekolah. 

Oleh sebab pelajar berada di tempat yang berlainan dan hanya boleh belajar di rumah, kebanyakan negara telah beralih kepada pembelajaran dalam talian sebagai alternatif kepada kaedah pembelajaran secara konvensional iaitu belajar bersemuka dalam bilik darjat atau bilik kuliah supaya pembelajaran boleh diteruskan. 

Telah sekian lama, pembaharuan sistem pendidikan seiring dengan Industri 4.0 kerap dibincangkan.

Sistem pendidikan negara perlu berubah ke arah pengajaran dan pembelajaran yang dipandu teknologi digital dan menerima pakai pendekatan yang lebih fleksibel dan interaktif. 

Pembelajaran dalam talian yang melibatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk alatan mudah alih seperti komputer riba dan telefon bimbit serta rangkaian internet boleh dikatakan selaras dengan agenda membentuk ruang pembelajaran yang berteraskan teknologi kepada generasi pelajar sekarang.

Dalam tempoh sekatan pergerakan akibat Covid-19, pembelajaran dalam talian bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan.

Kehadiran teknologi canggih dalam era moden membenarkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku di mana-mana tempat dan bila-bila masa. 

Walaupun terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi bagi mengoptimumkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi, krisis ini telah membenarkan kita berfikir semula dan cuba untuk mengubah sistem pendidikan yang ada bagi mempersiapkan generasi akan datang dengan lebih baik serta mewujudkan sistem pendidikan yang kekal berinovasi dan berteknologi tinggi untuk masa depan. 

Takrif semula konsep pengajaran dan peranan pengajar

Secara realitinya, majoriti pelajar di institusi pendidikan pada hari ini adalah berasal dari Generasi Z (Gen-Z) yang berinteraksi dengan teknologi sejak lahir dan hidup dalam dunia berteknologi. 

Kehidupan harian dan persekitaran mereka tidak boleh terpisah dengan teknologi.

Mereka mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui internet dan berkongsi maklumat melalui media sosial.

Cara pembelajaran telahpun berubah seiring dengan perkembangan teknologi.

Pada masa ini, pelajar boleh mendapat apa-apa maklumat yang mereka inginkan melalui beberapa klik sahaja pada alat ICT. 

Kami sedar bahawa perubahan kaedah pembelajaran dalam masa yang singkat memberi kesukaran dan tekanan kepada guru dan pensyarah kerana terpaksa beralih ke platform pembelajaran dalam talian yang mereka jarang mengguna berbanding dengan pembelajaran secara bersemuka dalam kelas. 

Akan tetapi, masa ini adalah masa yang baik untuk kita berdepan dengan Gen-Z yang mempunyai kecenderungan pembelajaran yang berbeza.

Pertama sekali, adalah penting untuk pengajar mentakrif semula konsep pengajaran yang dapat menarik minat Gen-Z.

Pelajar sekarang adalah lebih tertarik dengan pengajaran yang berinteraktif dan kreatif. Cara pengajaran lama yang berpusatkan guru tidak lagi sesuai. 

Pengajar perlu memahami cara pembelajaran pelajar Gen-Z dan mentakrif semula konsep pengajaran konvensional supaya kandungan pengajaran kekal relevan. 

Pengadaptasi kaedah baharu pengajaran selari dengan perkembangn teknologi adalah perlu apabila beralih ke pembelajaran dalam talian. 

Jika kita kekal mengamalkan cara pembelajaran yang lama dan hanya memindahkan pembelajaran ke platform dalam talian, usaha ini adalah tidak bermakna.

Peranan pengajar boleh digantikan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menjalankan tugas mereka dalam era hari ini.

Oleh itu, anjakan yang sesuai juga perlu dilakukan dalam proses penyampaian ilmu kepada pelajar agar selari dengan perkembangan teknologi. 

Peranan pengajar pada abad ke-21 tidak lagi hanya menyalurkan ilmu pengetahuan tetapi ke arah mendidik dan membimbing anak-anak menjadi seseorang yang berdaya tahan, fleksibiliti, pembelajaran sepanjang hayat, pemikiran kritikal dan kreativiti. 

Guru-guru tidak boleh sekadar menyuapkan maklumat dan pengetahuan kepada pelajar tetapi harus lebih kepada menggalakkan penyertaan pelajar dalam perbincangan dan berkomunikasi antara satu sama lain. 

Kajian kementerian pada 2010 mendapati bahawa lebih kurang 80% guru menggunakan ICT kurang satu jam seminggu.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa hanya sepertiga murid menyatakan bahawa guru mereka menggunakan ICT secara tetap. 

Selain kaedah bersemuka menjadi pilihan guru, kekurangan penggunaan ICT dalam kalangan guru mungkin disebabkan kekurangan kemahiran.

Oleh itu, latihan perlu diberi kepada para pendidik untuk melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan perkhidmatan ICT. 

Guru-guru perlu memastikan mereka berkemampuan mengaplikasikan ICT dengan sebaik mungkin dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya boleh membimbing murid menggunakan internet dan mengendalikan pembelajaran dalam talian dengan efektif. 

Ketidaksamaan dalam sistem pendidikan

Pada masa ini, pandemik Covid-19 telah menyebabkan semua pelajar dan pengajar terpaksa memanfaatkan rangkaian alat teknologi sedia ada untuk melakukan pembelajaran dalam talian.

Akan tetapi, pembelajaran berasaskan teknologi tidak semudah yang dijangkakan. 

Bagi membentuk ekosistem pengajaran dan pembelajaran berorientasikan teknologi, pembangunan infrastruktur digital adalah penting seperti pencapaian internet dan peranti yang dilengkapi teknologi terkini.

Hakikatnya, pandemik Covid-19 telah mendedahkan ketidaksamaan dalam sistem pendidikan kita, dari pencapaian internet dan peranti digital untuk pembelajaran dalam talian ke persekitaran yang menyokong pembelajaran. 

Pertama sekali, bukan semua pelajar ataupun guru mempunyai akses internet atau peranti yang diperlukan untuk pembelajaran dalam talian. 

Meskipun Malaysia semakin bertambah baik dalam kadar penembusan internet secara keseluruhan, perbezaan jurang digital masih ketara antara kawasan bandar dan luar bandar. 

Statistik suku ketiga 2019 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencatatkan kadar penembusan jalur lebar bagi 100 penduduk adalah 129.4 peratus, manakala tahun 2018 ialah 128.9 peratus.

Perbezaan yang ketara boleh dilihat apabila membandingkan kadar penembusan jalur lebar antara negeri. 

Kadar penembusan jalur lebar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencapai 265.0 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar penembusan jalur lebar national.

Manakala negeri Sabah mempunyai kadar penembusan jalur lebar yang paling rendah iaitu 82.0 peratus, diikuti oleh Kelantan 93.1%, Wilayah Persekutuan Labuan 95.9%, dan Terengganu 97.4%. 

Seterusnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam talian juga terganggu apabila pelajar yang berasal daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah tidak mempunyai telefon bimbit, komputer riba, tablet, TV atau alatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain di rumah yang boleh menyokong pembelajaran atas talian. 

Oleh itu, pelajar yang tidak mempunyai akses kepada peranti digital dan pencapaian internet akan mendapati mereka terpinggir dan tercicir dalam pendidikan manakala rakan yang lain boleh terus belajar dalam tempoh penutupan sekolah. 

Sehubungan itu, adalah penting untuk kita memastikan tiada pelajar yang terpinggir atau tercicir dalam peralihan pembelajaran ke platform dalam talian.

Perkembangan penggunaan teknologi dalam pendidikan adalah untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran pelajar bukannya menyusahkan mereka sehingga mencetus masalah sosial kepada keluarga. 

Memandangkan kesan Covid-19 adalah berpanjangan, kerajaan seharusnya membantu dalam hal pembelajaran anak-anak bagi keluarga yang miskin supaya boleh mengurangkan beban kehidupan mereka. 

Jika pelajar yang miskin tidak dibantu, mereka berkemungkinan tidak dapat meneruskan pembelajarannya apabila penutupan sekolah dilaksanakan untuk jangka masa yang lebih panjang. 

Di Singapura, jika pelajar tidak mempunyai peranti digital atau akses kepada internet, sekolah boleh meminjam peranti kepada pelajar yang memerlukannya dan juga akses internet. 

Menteri Pendidikan Singapura Ong Ye Kung berkata Kementerian Pendidikan telah meminjam kira-kira 3,300 peranti termasuk tablet dan komputer riba serta lebih 200 dongle kepada pelajar mereka setakat 3 April. 

Selain itu, keluarga berpendapatan rendah juga boleh memohon komputer bersubsidi dan jalur lebar percuma menerusi program NEU PC Plus yang disediakan oleh Infocomm Media Development Authority (IMDA).

Selain itu, seperti di United Kingdom dan Netherlands, sekolah akan buka untuk sekumpulan kecil pelajar yang ibu bapa mereka bekerja dalam sektor kritikal dan penting yang tidak dapat menjaga mereka di rumah. 

Akhir kata, krisis Covid-19 sebenarnya telah memaksa kita untuk mempercepatkan kewujudan persekitaran pendidikan yang berinovasi dan berteknologi tinggi. 

Buat pertama kali masyarakat perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan belajar melalui alam maya secara besar-besaran. 

Sekiranya kita dapat mengambil peluang ini untuk memantapkan lagi kekurangan yang ada dalam pengajaran dan pembelajaran, ia berkemungkinan boleh membantu membina sistem pendidikan yang lebih fleksibel pada masa depan.  

* Yasmin Saw adalah penyelidik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen