Cadang DBP terjemah Bible bukan pendirian Mais


Diyana Ibrahim

Majlis Agama Islam Selangor berkata cadangan dikemukakan peguam supaya DBP menterjemahkan Bible ke bahasa Melayu bukan pendirian rasmi agensi itu. – Gambar EPA, 20 November, 2017.

CADANGAN untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu bukan pendirian rasmi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), kata pengerusinya Mohamad Adzib Mohd Isa.

Beliau berkata MAIS sendiri tidak tahu berkenaan cadangan terjemahan yang dibuat peguam mewakili badan agama itu, Haniff Khatri Abdullah.

“Bukan, terjemahan Bible ke bahasa Melayu itu bukan cadangan Mais. Ia bukan pendirian Mais.

“Kita tidak ada perbincangan atau arahan mengenai terjemahan itu,” kata Adzib ketika dihubungi dihubungi The Malaysian Insight.

Adzib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Haniff yang dikemukakan pada prosiding kes difailkan oleh Jill Ireland Lawrence Bill terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia supaya menegakkan hak menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.

Haniff selaku peguam yang mewakili Mais membantu mahkamah pada ketika itu untuk memahami kalimah Allah dalam konteks Islam.

Ketika ditanya sama ada Adzib akan berbincang dengan Haniff berkenaan isu itu, beliau berkata ia masih belum diputuskan lagi.

“Kita belum tahu, kenapa dia cakap macam itu pun saya kurang pasti, tapi itu pendiriannya selaku peguam Mais, mereka ada hujah sendiri.

“Tapi setakat ini yang boleh kita sahkan ialah cadangan terjemahan itu bukan pendirian rasmi Mais,” katanya.

Rabu minggu lalu, Haniff memberitahu mahkamah DBP boleh mengeluarkan terjemahan rasmi Bible dalam bahasa Melayu bagi membetulkan kesilapan penggunaan kalimah Allah sebagai ganti perkataan untuk Tuhan.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah menggunakan kalimah Allah sebagai ganti perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu.

Dalam hujahnya, Haniff berkata mereka sepatutnya menggunakan perkataan “Tuhan” dan ini tidak sama sekali mencabul hak perlembagaan mereka.

Hujah Haniff mencetuskan kemarahan pemimpin politik beragama Kristian dan pemimpin gereja, termasuk sebuah badan pelbagai agama yang membidas kenyataan peguam itu dikatakan melampau.

Turut menentang keras cadangan itu ialah Presiden Majlis Gereja Sabah Biskop Milter Tiki Jais yang menuntut Haniff meminta maaf kerana kenyataannya.

Bagaimanapun, Haniff enggan meminta maaf atau menarik balik cadangan yang dibuat meskipun dibidas pelbagai pihak. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen