Bagaimana Covid-19 beri kesan kepada belia dan graduan baharu


KRISIS Covid-19 bukan saja memberi kesan kepada belia, khususnya graduan baharu dalam lima aspek:

1. Majoriti penganggur (80%) di Malaysia merupakan belia berumur 15-29 tahun;

2. Sektor perkhidmatan menerima tempias terbesar sepanjang krisis Covid-19. Satu daripada lima tenaga kerja di Malaysia merupakan belia yang bekerja di sektor perkhidmatan ini;

3. Dengan pertumbuhan pasaran kerja tidak formal, golongan belia (15-34 tahun) mendominasi sebanyak hampir 40%;

4. Cabaran terbesar buat graduan baharu kerana penguncupan aktiviti ekonomi akan menyebabkan peluang pekerjaan yang terhad. Setiap tahun seramai lebih 200,000 graduan memasuki pasaran buruh. Graduan baharu menghadapi cabaran dalam pasaran pekerjaan yang terhad; dan

5. Wujud jurang pendapatan dalam kalangan belia akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan dan kehilangan pekerjaan. Dengan pendapatan yang rendah menyukarkan sara diri belia dalam keadaan krisis.

Belia juga merangkumi sebahagian besar tenaga buruh di sektor pekerjaan terjejas seperti sektor perkhidmatan dan sektor tidak formal.

Malah, Bank Negara Malaysia baru-baru ini turut mengumumkan peningkatan unjuran kadar pengangguran kepada 4% untuk 2020. Pengangguran yang meningkat akan memberi kesan secara langsung kepada belia kerana hampir 80% daripada keseluruhan penganggur pada 2018 terdiri daripada golongan tersebut.

Dasar sedia ada, terutama yang diumumkan oleh kerajaan dalam Pakej Prihatin dan Prihatin Tambahan 2020 dilihat tidak begitu menyebelahi belia dan  graduan. Menyedari kekangan dari segi kewangan kerajaan, beberapa strategi dasar dicadangkan bagi membendung kesan semasa krisis Covid-19 kepada belia dan graduan baharu, seperti berikut:

1. Sistem sokongan mencari kerja yang bersepadu perlu diwujudkan seperti portal bersepadu pencari kerja secara atas talian. Melalui platform ini, pencari kerja dan graduan baharu akan merujuk satu platform yang dilengkapi semua maklumat pekerjaan, latihan industri dan perantisan serta bantuan sedia ada. Ketersediaan (availability) dan kemudahcapaian (accessibility) sangat penting dan seharusnya mencakupi pelbagai latar belakang (terutamanya dari luar bandar).

2. Majikan pula perlu diberi galakan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan secara digital untuk urusan pengambilan pekerja baharu, dari proses permohonan, temuduga sehingga diterima bekerja. Kaedah yang fleksibel dan inovatif harus difikirkan untuk menangani kesukaran dalam proses mencari kerja dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan belia ketika ini.

3. Bantuan kewangan kepada belia pertama kali mencari kerja. Bantuan kewangan untuk pencari kerja di Malaysia lazimnya diberikan di bawah SIP Perkeso—dalam keadaan penerima manfaat kehilangan pekerjaan. Namun, tiada peruntukan khusus kepada pencari kerja baharu dalam bentuk elaun bulanan, terutamanya kepada graduan baharu.

4. Galakan penyertaan dalam program latihan industri dan perantisan kepada belia, graduan baharu dan majikan. Syarikat kecil menghadapi kekangan dari segi kewangan untuk membayar perantis, subsidi latihan pekerjaan kepada belia dan graduan baharu adalah sangat penting.

5. Memperluaskan program sedia ada seperti program PROTEGE, Structured Internship Program (SIP) dan Malaysia@Kerja. Insentif tambahan perlu diberikan kepada kedua-dua graduan dan majikan sekiranya graduan berjaya mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelayakan mereka.

Kaedah ini secara tidak langsung dapat memastikan bukan saja graduan memperolehi pekerjaan, malah mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik dan setimpal dengan kelayakan pendidikan mereka. Kaedah yang sama juga boleh dipraktikkan untuk program Wanita@Kerja.

Keadaan ekonomi pasca-pandemik seperti yang diramalkan oleh pakar ekonomi menunjukkan unjuran yang negatif, bukan saja di Malaysia malah secara global. Beberapa cadangan bagi membantu belia dan graduan baharu pasca-pandemik, seperti berikut:

1. Kerajaan boleh menawarkan program perantis kepada graduan baharu di semua kementerian dan agensi kerajaan. Berlandaskan platform SL1M terdahulu, ianya boleh dipertingkatkan dengan fokus utama untuk memberi pengalaman kerja kepada graduan.

Modul ini boleh dilaksanakan secara “inter-collegiate” yang mana graduan boleh menukar kementerian atau agensi setiap empat bulan. Ini akan memberi graduan pilihan sama ada untuk mendalami sesuatu pengkhususan dalam satu perkara atau mendapat pengalaman dalam beberapa perkara berbeza;

2. Program perantis ini perlulah berpijak di bumi nyata. Perantis memerlukan sejumlah peruntukan bulanan untuk sara diri. Pertimbangan melalui elaun bulanan, perlindungan asas dan kemudahan cuti perlulah dipertimbangkan kepada perantis. Setakat ini hanya perantis di sektor awam diberikan elaun RM900 sebulan.

3. Galakan kepada belia menyertai latihan peningkatan kemahiran melalui kaedah pembelajaran sepanjang hayat.

Pasca-pandemik akan menyaksikan penguncupan ekonomi yang menyebabkan pengurangan tawaran pekerjaan yang mendadak, peningkatan pengangguran, kehilangan pekerjaan. Maka tempoh terdekat ini akan menyaksikan kesukaran dan tekanan untuk mendapatkan pekerjaan lebih-lebih lagi kepada belia dan graduan baharu. – 14 April, 2020.

* Junaidi Mansor dan Mohd Amirul Rafiq dari Khazanah Research Institute.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen