2 ahli lembaga pengarah CAAM sah dipecat


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi Majlis Peguam Ragunath Kesavan dan Afzal Abdul Rahim ditamatkan perkhidmatan oleh Kementerian Pengangkutan pada 8 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

AHLI lembaga pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini mengesahkan mereka dipecat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata Afzal Abdul Rahim dan beliau sendiri ditamatkan perkhidmatan oleh Kementerian Pengangkutan pada 8 April.

“Tiada alasan diberikan,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

“Alasan paling munasabah adalah kami dilantik oleh bekas menteri Anthony Loke,” katanya.

Afzal juga merupakan ketua pegawai eksekutif TIME dotCom, dan ahli lembaga bebas Kumpulan CIMB serta juruterbang berlesen FAA Commercial.

Seorang pegawai dari Pejabat Pengangkutan Wee Ka Siong juga mengesahkan penamatan perkhidmatan mereka kepada The Malaysian Insight.

Perkara itu didedahkan oleh Loke dalam tulisan di Facebook beliau semalam.

Beliau menyifatkan mereka sebagai “profesional dan bukan ahli mana-mana parti politik yang berkaitan dengan Pakatan Harapan”.

Loke berkata Afzal enggan menerima elaun untuk tugas sebagai ahli lembaga pengarah dan berkhidmat kepada badan itu atas dasar pro bono kerana ia adalah satu bentuk khidmat negara kepadanya.

Ragunath, yang dilantik kemudian bagi memenuhi keperluan ahli dengan latar belakang undang-undang yang kuat.

Penamatan kedua-duanya adalah sebahagian daripada langkah berterusan oleh kerajaan PN untuk menggantikan semua lantikan dibuat sebelumnya di agensi kerajaan serta badan berkanun. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen