Belum sahih lagi haji tangguh, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri semalam mendapatkan penjelasan daripada Duta Arab Saudi ke Malaysia. – Gambar EPA, 8 April, 2020.

ARAB Saudi belum lagi membuat keputusan sama ada menangguhkan atau tidak ibadat haji tahun ini, kata Menteri Agama Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Beliau yang mengesahkan keputusan itu dengan Duta Arab Saudi di Malaysia meminta rakyat tidak menyebarkan berita tidak sahih mengenainya kerana Arab Saudi sendiri pun belum lagi membuat sebarang keputusan.

Zulkifli berkata beliau sudah mendapatkan penjelasan mengenai hal itu daripada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan, semalam.

“Berdasarkan penjelasan Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussien Saeed Qattan, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, beliau bertemu Mahmoud Hussien semalam bersama Atase Agama Kedutaan Arab Saudi Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an; Pengurus Besar Kanan Tabung Haji Syed Saleh Syed Abdul Rahman, dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Ruslan Said.

Dalam kenyataannya, Zulkifli juga menyeru umat Islam agar berdoa supaya wabak ini segera selesai dan ibadat haji dapat dijalankan seperti biasa.

“Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua kota suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini. 

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Amin,” tambahnya.

Pandemik Covid kini sudah menjangkiti 1.4 juta orang di serata dunia dan lebih 82,000 daripadanya meninggal dunia.

Arab Saudi juga tidak terkecuali dengan 2,795 kes dan 41 kematian.

Menteri Haji dan Umrah Dr Muhammad Salih Taher Banten awal bulan ini meminta umat Islam di seluruh dunia menangguhkan dahulu perancangan untuk mengerjakan haji tahun ini kerana belum ada tanda pandemik Covid-19 akan reda.

Katanya, pihak berkuasa di Arab Saudi bersiap sedia untuk melayani keperluan jemaah haji namun pada masa ini apa yang lebih utama ialah keselamatan dan kesihatan umum.

“Kita minta dunia tidak tergesa-gesa dengan jemaah haji sehingga wabak ini semakin jelas, kerana yang utama ialah keselamatan jemaah dan kesihatan awam,” katanya.

Arab Saudi menerima lebih kurang 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia pada setiap tahun.

Ibadat haji tahun ini dijadual bermula pada hujung Julai.

Pada hujung Februari lalu, Arab Saudi menangguhkan pengeluaran visa umrah, sehingga mencetuskan spekulasi langkah sama akan turut diambil bagi ibadat haji.

Selain menggantung ibadah umrah, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan semua warga asing ke negara itu selain menyekat pergerakan keluar dan masuk di beberapa bandarnya, termasuk Mekah dan Madinah. – 8 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen