Pakej rangsangan meja makan


Hasmi Hashim

PENULARAN wabak Covid-19, bagi penguasa politik, tetap digunakan juga untuk tujuan politik. Hal sedemikiann bukanlah terlalu susah untuk disedari — terutamanya bagi tujuan melonjakkan nama segelintir pihak atau politikus tertentu.

Di China, Eropah atau Amerika Syarikat pun, keadaannya sama. 

Ambillah contoh di China — tempat wabak Covid-19 bermula. Dalam resah kira-kira sebelas juta warga Wuhan, Presiden China Xi Jinping satu kali terpaksa turun sendiri ke kota berkenaan, meski keadaan masih bahaya. Semua orang tahu, virus Covid-19 tidak kenal Jinping, waima dia seorang presiden. Begitu ramai pembesar, bahkan raja yang terjangkiti.

Kehadiran sang presiden ialah bertujuan untuk meyakinkan kembali warga Hubei khasnya, dan rakyat China umumnya. Suara kritikan terhadap pemerintah mulai kedengaran apabila ada petugas di barisan hadapan lantang mengkritik dan menuduh pemerintah telah menyembunyikan fakta. Termasuklah angka orang yang dijangkiti, dan mereka jumlah yang mati di Wuhan.

Meski hari ini selepas Wuhan ‘pulih’, keraguan kepada ketelusan kerajaan China terus menjalar tidak kurang. Bukan sahaja di dalam negara, sekarang sudah merebak di peringkat antarabangsa.

Bagi menandingi kritikan dan keraguan itu, maka pemerintah China segera cuba membina naratif mereka sendiri. China segera menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada banyak negara — bagi menunjukkan betapa China adalah baik, berperikemanusiaan dan yang paling penting, komunisme ala China adalah OK.

Di Eropah, antara negara yang menerima bantuan China termasuklah Hungary dan Jerman. Ada juga suara tidak puas hati di dalam Kesatuan Eropah (EU), apabila EU dianggap gagal membentuk kerjasama sesama mereka ketika setiap negara menghadapi ancaman serupa. Bagi pengkritik, mengapa perlu terlalu bergantung kepada China, China, China?

Ketergantungan itu bererti mereka akan ‘terhutang budi’. Maknanya selepas ini, mereka perlu menerima naratif baharu China, terutamanya di dalam makna politik dan kepentingan-kepentingan ekonomi Beijing.

Tidak sekadar itu, sistem ekonomi dan demokrasi Eropah pun mula tercabar. Rakyatnya akan mulai melihat bahawa sistem Komunisme — paling tidak model China — lebih baik dan berjaya menangani krisis. Di situlah pada akhirnya, EU akan dilihat sebagai gagal serba-serbi.

Di dalam kritikan yang semakin kuat, maka bentuk-bentuk kerjasama baharu pun cuba diwujudkan. 

Misalnya bantuan Jerman kepada Itali. Bentuk kerjasama yang mahu diamalkan ialah mana-mana negara yang terlalu ramai pesakit sehingga tidak tertampung oleh sistem kesihatannya, maka negara lain akan mengantar pesawat untuk membawa para pesakit ke negara yang kurang terancam agar boleh dirawat di hospital.

Jaya-tidaknya bentuk kerjasama EU itu belum pasti. Apa yang mereka sedar, sesuatu memang perlu dilakukan.

Di Asia Tenggara, kesedaran untuk satu bentuk kerjasama yang lebih mantap pun belum wujud. Di rantau ini, kita ada Asean.

Bayangkan ketika jumlah pesakit di Malaysia meningkat, negara Asean lain yang waktu itu masih terkawal seperti Singapura, Indonesia atau Brunei, masing-masing buat tidak peduli. Begitu juga ketika Indonesia yang dikatakan akan sangat buruk dalam tempoh terdekat, rakan serantau juga akan buat tidak endah, atau mula ‘menjauhkan diri’.

Mungkin juga konsep Asean tidak sama seperti EU. Namun, kalaulah kita ada seorang menteri luar yang punya keinsafan dan azam, tidak mustahil makna kerjasama Asean dapat dipereratkan. Lebih-lebih lagi di waktu-waktu krisis begini. 

Naratif China atau keadaan di Eropah tadi membuktikan bahawa tidak dapat tidak, politik tetap wujud di kala krisis. Cuma sama ada ia politik bawah yang kemaruk masuk TV kerana khayalkan Kak Kiah yang tidak benar-benar wujud, atau politik atas yang jujur mahu menyelesaikan masalah.

Seruan agar “tidak bermain politik” di saat wabak melarat tidak lain adalah sebuah seruan yang juga sangat bermotifkan politik. Ini samalah caka-cakap segelintir dalang “Langkah Sheraton” yang mendakwa Anwar Ibrahim tidak sabar, tapi akhirnya ternyata dialah sebenarnya yang membuak-buak mahu menjadi PM.

Begitu juga di kala seruan agar pakej rangsangan ekonomi perlu dibahaskan di Parlimen, sekonyong-konyong ada yang berkata, ia tidak perlu. Konon jangan asyik ‘bermesyuarat’. Kata mereka, rakyat sudah tenat. Perlu bantuan segera.

Sekali lagi, berlagak jagoan sebegitu tidak mudah menjadikan orang ramai lupa bahawa bencana yang melanda Malaysia sekarang antara faktor besarnya adalah disebabkan “Langkah Sheraton”. Dua minggu tempoh tidak berkerajaan itulah yang menyebabkan gelombang kedua wabak merebak.

Sekiranya kerajaan cukup matang, dalam keadaan krisis yang sebegini buruklah sidang Parlimen tergempar wajib diadakan. Tidak boleh ditangguh. Lebih-lebih lagi ia melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat.

Nampaknya ada yang ditakutkan oleh kumpulan Muhyiddin-Azmin. Takut untuk ke parlimen kerana dikhuatiri akan berlaku pula proses undi tidak percaya — walhal, Anwar dan Pakatan Harapan (PH) sudah memberi jaminan bahawa sidang khas Parlimen yang perlu diadakan itu semata-mata untuk menyelamatkan negara serta membantu kerajaan di dalam menyediakan pakej rangsangan yang lebih mantap.

Bentuk pakej rangsangan ekonomi bukan hanya wujud di negara ini. Malaysia tidaklah unik.

Daripada angka terkumpul RM250 bilion yang diumumkan, sebenarnya hanya sekitar RM23-RM25 bilion sahaja merupakan tunai daripada perbendaharaan kerajaan. Selebihnya adalah insiatif atau pelbagai bentuk potongan tertentu — yang tidak melibatkan sesen pun tunai kerajaan.

Banyak negara lain yang turut mewujudkan pakej rangsangan masing-masing. Misalnya Australia yang berjumlah AS$10.7 bilion, India AS$22.6 bilion, Singapura AS$48 bilion dan UK sebanyak AS$435 bilion. Setakat sekarang, yang terbesar sudah tentu Amerika Syarikat yang berjumlah AS$2.2 trilion.

Kesemua negara tersebut tidak kurang teruknya dalam menghadapi wabak. Sesetengahnya lebih buruk dari Malaysia. Betapa pun keadaannya, setiap negara tidak pula mengumumkan tanpa kelulusan Parlimen. Setiap sen perlu benar-benar difikirkan supaya tidak ada lapisan masyarakat yang tercecer. Jangan pada 27 Februari umum untuk Kak Kiah, 5 Mac untuk mahasiswa, 15 Mac untuk peniaga pasar malam, dan 6 April untuk IKS.

Pakej yang bertambah-tambah menunjukkan kerajaan tidak cermat merangkanya. Mantan PM, Najib Razak turut menyebutkan bahawa pakej rangsangan sepertimana biasa tidak akan dapat menyelesaikan tekanan ekonomi yang bakal melanda.

Lantas yang sebaik-baiknya dilakukan terlebih dahulu — sebelum meleret-leret perbentangan pakej rangsangan 1.0, 2.0, 3.0 dan seterusnya ialah — menstruktur semula Belanjawan 2020 itu sendiri. 

Cukup ramai ahli ekonomi meramalkan akan berlakunya kemelesetan yang amat buruk, dan Malaysia tidak terkecuali. Kalau Belanjawan 2020 dapat disesuaikan kerana kita masih berada awal tahun, maka fokus baharu dapat ditetapkan — berbeza dengan konteks ketika belanjawan berkenaan disiapkan tahun lalu.

Nampaknya semua itu tidak berlaku kerana ekonomi dan kewangan negara hanyalah ibarat lauk-pauk di atas meja makan pak menteri. Kak Kiah adalah gosip tentang gincu dan rambutnya. Ia dibincangkan hanya oleh tiga-empat orang menteri sambil tangan sebelah memuat-naik gambar di media sosial. 

Barangkali itu juga satu tindakan politik untuk menunjukkan betapa berkuasanya mereka sementara ini. Sedangkan rakyat dan negara kekal dalam bahaya — walaupun nanti, setelah Covid-19 tiada lagi. – 7 April, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen