Nyawa rakyat Malaysia di tangan bank, pemodal


Salhan K. Ahmad

Petugas mengagihkan bantuan barang keperluan kepada golongan tidak berumah. Lebih ramai akan terpaksa tinggal di jalanan jika sewa rumah tidak dikawal sewaktu bencana Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April 2020.

BAGAI telur di hujung tanduk, begitulah nasib ramai rakyat Malaysia sekarang.

Bukan sedikit yang ditimpa kesusahan kerana tidak dapat meraih pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sengsara itu sedikit terubat apabila kerajaan minggu lalu mengumumkan moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli – kenderaan dan perumahan, tetapi itu hanyalah bagi pembeli harta berkenaan.

Individu yang menyewa harta itu tidak diberi sebarang kelonggaran nyata. Tiada syarat supaya pembeli harta berkenaan memberi penangguhan bayaran kepada penyewa.

Apa yang kita dengar hanyalah kelonggaran kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat. Penyewa hartanah kategori lain perlu terus membayar kerana tiada sebarang ketetapan dibuat untuk mereka.

Perkara inilah, yang tidak dirumuskan dengan baik oleh kerajaan, menyebabkan kaum pemodal tetap kaya dan si miskin makin sengsara di waktu mala petaka ini.

Ramai yang terkurung di dalam kediaman masing-masing kini pening kerana kedai yang disewa tidak dapat dibuka.

Lebih sakit kepala lagi apabila tuan rumah dan tuan kedai juga tidak mahu beri moratorium.

Menurut kerajaan, ekonomi Malaysia memerlukan masa sehingga enam bulan untuk pulih semula jika strategi betul dilaksana, tetapi kita tahu ramalan ini terlalu optimis.

Pihak yang paling untung dalam hal ini tentulah kaum pemodal yang masih terus mengutip bayaran sewa daripada pelbagai kediaman dan kedai milik mereka.

Perkara inilah yang membunuh ramai usahawan kecil dan sederhana dan akan memaksa ramai keluarga berumah di kaki lima kelak, jika tidak ditangani.

Kerajaan perlu memastikan moratorium tersebut tidak hanya memberi keuntungan kepada golongan pemodal dan pemilik hartanah sahaja.

Perlu peraturan jelas supaya sewa juga boleh ditangguhkan untuk memastikan penyewa rumah dapat terus berlindung dan perusahaan kecil dan sederhana dapat bertahan.

Ruang inilah yang membolehkan mereka dapat terus bernyawa sehingga badai Covid-19 berlalu untuk membina semula perniagaan kecil dan sederhana.

Kita juga sedar ketamakan kaum pemodal juga menjadi punca kesusahan pada waktu ini terasa begitu sengsara.

Kita boleh lihat begitu banyak kediaman mewah bernilai sehingga RM100 bilion terbiar kosong tanpa penghuni kerana ketamakan pemodal yang mahu meraih untung maksimum.

Walhal, keutamaan sebenar adalah membina perumahan mampu milik.

Tapi itu keadaan sewaktu suasana ekonomi masih baik. Di hadapan ini kelak, dijangka jutaan rakyat akan hilang pekerjaan.

Untuk memastikan rakyat terus hidup, kita tidak boleh biarkan ketamakan pemodal ini berterusan.

Bank dan juga kaum pelabur perlu faham, harta ini tiada nilai lagi jika tiada siapa yang mampu menyewanya kelak.

Inilah pengorbanan yang dituntut sewaktu perang menentang Covid-19. – 2 April, 2020.

* Salhan K Ahmad anggota sidang redaksi The Malaysian Insight. E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen