PKS: Bom jangka ekonomi Malaysia


PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) bagaikan angsa yang bertelur emas. Melalui penggunaan telur emas ini untuk menyara hidup dan pertumbuhan mereka, PKS juga secara langsung menentukan pendapatan dan pertumbuhan hampir semua orang dalam sesebuah ekonomi.

Jika proses bertelur itu mengalami masalah, keupayaan mereka untuk menyara hidup akan terjejas, lantas menjunam ke arah kebinasaan dalam seminggu dua atau paling lama, sebulan.

Kebinasaan mereka pula mempunyai kesan domino yang akan meruntuhkan seluruh ekonomi dalam beberapa bulan lagi.

Itulah kenyataan hakiki mengenai bagaimana ekonomi moden kita beroperasi. Satu lagi kenyataan hakiki: PKS perlu diselamatkan, dan diselamatkan dengan segera. Kenyataan hakiki yang ketiga: Jumlah bantuan yang diperlukan bukan sedikit.

PKS memainkan peranan penting dan genting dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Mereka merangkumi kira-kira 98.5% atau hampir sejuta daripada semua pertubuhan perniagaan. Peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh PKS adalah 66.2% pada 2018.

Berikut adalah fakta jelas lagi terang mengenai sumbangan PKS kepada negara:

  • Sumbangan mereka kepada KDNK dijangka berkembang pada kadar sederhana sebanyak 5.8% pada 2019 (6.2% pada 2018).
  • Dalam 2018, jumlah eksport PKS adalah 17.3% dan ini dijangka meningkat pada 2019.
  • Dalam sektor perkhidmatan, sumbangan sektor pelancongan di mana terdapat banyak PKS adalah sangat penting – pada 2019 terdapat 28.1 juta ketibaan pelancong, menjana RM 92.2 bilion dalam resit pelancongan.
  • Dari segi rantaian bekalan dan rangkaian niaga, 68.1% PKS adalah pembekal langsung firma asing besar di Malaysia.
  • Daripada PKS yang merupakan pembekal tidak langsung, 21.6% dibekalkan melalui perantara yang merupakan PKS Malaysia, 16.4% dibekalkan melalui perantara yang merupakan firma asing besar di Malaysia, 12.9% dibekalkan melalui perantara yang merupakan PKS asing di Malaysia, dan 12.1% lagi dibekalkan melalui perantara, yang merupakan firma besar Malaysia.

Meskipun pakej rangsangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menangani Covid-19 sangat menyeluruh kerana merangkumi semua pihak, tumpuan kepada PKS jelas memerlukan perhatian lebih mendalam dari segi kelangsungan hidup mereka bukan sahaja semasa wabak Covid-19, malah juga pasca Covid-19.

Sama ada ini disengajakan atau tidak – dengan tujuan mengumpul lebih banyak maklum balas daripada SME untuk pakej bantuan seterusnya, tanpa pengetahuan mengenai langkah kerajaan seterusnya, PKS diselubungi kebimbangan.

PKS sendiri mengakui bahawa pakej Prihatin yang diumumkan sangat baik dalam menangani masalah mereka dari sudut permintaan, tetapi dari sudut bekalan, banyak lagi yang boleh diusahakan.

Dan sekiranya kebimbangan mereka terhadap masalah bekalan tidak ditangani dengan segera, ia pasti akan meningkatkan lagi kerapuhan kehidupan ekonomi mereka bagi kebanyakan PKS kerana mereka telah menghadapi pelbagai pukulan yang dihadapi ekonomi dunia sebelum krisis Covid-19 menjelma.

Tetapi ada satu rahmat di sebalik keadaan muram ini.

Menurut profesor Harvard, Karen Mills yang juga bekas Pentadbir Perniagaan Kecil dalam pentadbiran Obama, tidak seperti kemelesetan ekonomi global pada 2008 yang juga memberi kesan besar kepada PKS dan di mana bank pada umumnya mengalami masalah kecairan, dalam krisis kali ini, bank-bank berada dalam kedudukan baik dari segi kecairan yang boleh digunakan untuk membantu PKS pada masa yang sukar dan mencabar ini.

Di bawah pakej Prihatin, bank melakukan ini menerusi arahan Bank Negara seperti memberi moratorium pinjaman dan menawarkan dana bantuan khas Covid-19 (SRF) untuk PKS, sementara kerajaan menawarkan kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM50 bilion kepada semua PKS dan subsidi gaji kepada semua majikan.

Ini adalah permulaan yang baik tetapi masih tidak mencukupi.

Jika wabak Covid-19 berlaku tanpa memerlukan perintah kawalan pergerakan (PKP), mungkin ia mencukupi sebagai langkah permulaan. PKP, walaupun sangat penting, mengubah percaturan keadaan.

PKS tetap memainkan peranan sebagai pembayar gaji untuk ramai rakyat Malaysia tanpa mempunyai cara untuk melakukan apa sahaja untuk meraih pendapatan kerana operasi niaga mereka perlu ditutup semasa PKP. Penampan apa yang mereka ada dalam simpanan wang tunai, akan habis pada masa PKP ditarik balik. 

Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah untuk membantu mereka mengimbangi kehilangan pendapatan semasa PKP agar kedudukan mereka kekal sama seperti sebelum PKP.

Dari sana, apabila PKP berakhir, usaha perlu ditumpukan untuk membantu PKS dengan masalah aliran tunai mereka. Moratorium pinjaman sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah ini.

Lebih penting lagi, syarat dan terma untuk mendapatkan dana daripada kemudahan bantuan khas (SRF) perlu dipulas dan disesuaikan untuk menjadikannya cukup fleksibel untuk PKS memohon. Ini antara lain memerlukan:

  • Mengetepikan sebarang kebimbangan CCRIS / CTOS dari Januari 2020 hingga Mac 2020 ekoran kelembapan ekonomi.
  • Mengurangkan keperluan akaun yang diaudit 2 tahun untuk hanya 1 tahun.
  • Memerlukan bank untuk mengubah kriteria pendanaan, “Mesti menjadi pelanggan kami” kepada “Mesti pelanggan institusi kewangan yang diiktiraf”.
  • Memudahkan dokumen untuk permohonan dan, jika perlu, menyertakan jaminan pengarah bagi risiko pinjaman yang diagihkan.
  • Tempoh 10 hari perniagaan dari permohonan hingga ke agihan dana.
  • Mengetepikan keperluan keuntungan untuk PKS yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dengan aliran tunai terbukti.

Seterusnya, kemudahan jaminan pinjaman perlu diubah seperti berikut:

  • Diagihkan dengan nisbah 70% untuk perniagaan kecil dengan tidak lebih daripada 250 pekerja, dan 30% untuk perniagaan bersaiz sederhana dengan lebih dari 250 pekerja.
  • Jumlah pinjaman adalah RM100,000 hingga RM2 juta untuk perniagaan kecil, dan RM10 juta hingga RM25 juta untuk perniagaan bersaiz sederhana.
  • Yuran atau bayaran untuk permohonan hendaklah diberi diskaun atau dikecualikan.

Pinjaman mudah (soft loan) tanpa faedah harus disasarkan pada syarikat permulaan (start-ups), perusahaan kecil atau perniagaan yang berusia kurang lima tahun, manakala kemudahan pinjaman mudah bernilai RM25 bilion turut disediakan dari September atau lebih awal jika PKS masih berada dalam kesukaran.

Sementara itu, bagi syarikat bukan PKS, Profesor Mills menasihatkan pada masa kritikal ini, mereka dapat memainkan peranan berguna seperti membayar bil mereka – terutama kepada pembekal – sewa dan utiliti pada waktunya. Ini akan dapat membantu PKS dengan bantuan lanjut.

Walaupun kebimbangan utama kita adalah kesihatan awam dan kebajikan rakyat, penting juga bagi kerajaan untuk meningkatkan lagi langkah-langkah yang telah diumumkan dalam pakej Prihatin demi menyelamatkan syarikat daripada muflis serta membantu mereka pulih dengan segera apabila wabak Covid-19 telah dapat dilenyapkan. – 2 April, 2020.


* Jamari Mohtar, Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen