Dasar kewangan tidak mencukupi


TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik Covid-19 akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020.

Sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara yang dilanda wabak Covid-19 meningkatkan tekanan kepada aktiviti ekonomi, permintaan menjatuh dengan mendadak serta bekalan dan rantai nilai diganggu. 

Boleh dijangka bahawa, walaupun wabak ini akhirnya berjaya dikawal, penularan wabak Covid-19 telahpun membawa impak yang berpanjangan terhadap ekonomi dunia.

Semua sektor terkesan dengan sebilangan sektor akan terkesan dengan teruk sekali.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac 2020 untuk menangani kesan penularan Covid-19. 

Akan tetapi, secara khususnya, pakej rangsangan ini menerima banyak reaksi tidak puas hati daripada pihak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bahawa pakej ini mengabaikan PKS yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Pakej ini dikatakan membantu rakyat tetapi bukan perniagaan. 

Pakej rangsangan ekonomi perlu memenuhi empat objektif, iaitu:

* Memastikan isi rumah mempunyai wang tunai yang mencukupi (cash-on-hands);

* Memastikan pekerja diberi gaji walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);

* Memastikan firma mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk menampung kos upah dan bekalan, terutamanya PKS, untuk mengelakkan kemuflisan; dan

* Menyokong sistem kewangan untuk mengelakkan krisis kesihatan daripada menjadi krisis kewangan.

Setakat ini, pelbagai pihak memberi respons negatif berhubung objektif ketiga. KPRU berpendapat, reaksi negatif terhadap objektif ketiga ada asasnya. 

Prospek ekonomi Malaysia selepas Covid-19 tidak optimistik di mana 93% PKS dijangka menghadapi perniagaan tidak stabil sepanjang enam bulan. 

Jangkaan ini disokong oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed bahawa kerajaan memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan selepas krisis Covid-19 berakhir untuk memulihkan ekonomi negara.

Menurut kajian Bank CIMB dan CompareHero (2019), sebanyak 98.5% institusi perniagaan di Malaysia terdiri daripada syarikat PKS. 

Walaupun syarikat tersebut masing-masingnya kecil dan tidak signifikan di pasaran, tetapi secara keseluruhannya ia menyumbang kepada 38.3% KDNK Malaysia pada 2018, iaitu sebanyak RM521.7 bilion. 

Jumlah ini dijangka akan bertambah ketara kerana kerajaan bersasar sumbangan PKS terhadap KDNK akan meningkat kepada 50% menjelang 2030. 

Tambahan pula, PKS mewujudkan 5.7 juta peluang pekerjaan kepada 66% tenaga kerja tempatan.

Selain itu, PKS memainkan peranan penting dalam sektor eksport negara di mana sebanyak 17.3% eksport tempatan dikendalikan oleh syarikat PKS. 

Setakat ini, Malaysia mempunyai sebanyak 907,000 PKS dan usahawan tempatan. Peranan PKS tidak boleh diabaikan kerana ia menyumbang kepada 66% guna tenaga di Malaysia. 

KPRU berpendapat, semua maklumat berkaitan mencadangkan bahawa ekonomi PKS tidak boleh runtuh kerana ia akan meninggalkan impak ekonomi yang amat teruk kepada pekerja dan rakyat Malaysia. Dengan kata lain, ekonomi PKS secara kolektifnya “is too big to fall”.

Pada ketika negara berdepan dengan krisis, penyelarasan antara dasar fiskal dan kewangan adalah penting untuk mencetuskan hasil yang besar.

Setakat ini, berdasarkan pengumuman kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM), dasar fiskal kelihatan mesra rakyat dengan pakej bersifat populisme sedangkan dasar kewangan kelihatan tidak begitu mesra perniagaan.   

Berdasarkan perutusan khas Pakej Prihatin, BNM akan menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas (SRF) untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.

Bank Simpanan Nasional (BSN) pula akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

Skim ini akan dikendalikan oleh BSN dengan menawarkan kadar faedah 2% tanpa cagaran. 

Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. 

Inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

Pengumuman dasar kewangan setakat ini adalah tidak mencukupi.

Kami mengesyorkan supaya kerajaan dan pihak berkenaan menawarkan kemudahan pinjaman atau jaminan bantuan kepada PKS dengan kadar faedah lebih rendah, atau sebaik-baiknya kadar faedah sifar untuk tempoh tertentu sebagai langkah menghadapi krisis semasa. 

Di samping itu, dana Skim Mikro Kredit BSN boleh ditingkatkan lagi daripada RM700 juta kepada RM1 bilion untuk memanfaatkan lebih banyak usahawan PKS.

Dalam pakej rangsangan ekonomi UK, kerajaan menyediakan pinjaman sebanyak 330 bilion pound untuk membantu syarikat supaya membiayai kos operasi dan modal kerja. 

Had maksimum pinjaman bagi setiap PKS adalah 5 juta pound dengan syaratnya perolehan tahunan (turnover) tidak melebihi 45 juta pound setiap tahun.

Pinjaman melalui skim ini memberi kadar faedah sifar selama 12 bulan. 

Ini secara langsung akan menurunkan kos bayaran balik PKS dan menggalakkan PKS meningkatkan pelaburan atau menambah lagi jumlah pekerja untuk mencapai pengeluaran yang lebih besar selepas krisis. 

Sebagai ganjaran kepada syarikat PKS yang tidak membuang pekerja, kerajaan boleh mencontohi Amerika Syarikat di mana sebahagian bayaran balik pinjaman akan dikecualikan sekiranya syarikat peminjam tidak memecat pekerja dalam tempoh tertentu. 

Ini secara langsung akan menggalakkan PKS supaya tidak mengurangkan kakitangan dan menjamin pekerjaan warga Malaysia.

Selain kadar faedah yang tidak menarik, masalah akses kepada kemudahan pinjaman perlu diberi perhatian.

Pelbagai pihak pernah menyatakan bahawa kebanyakan institusi pembiayaan tidak cenderung untuk mempertimbangkan permohonan pinjaman daripada PKS terutamanya dalam kategori perniagaan persendirian. 

Berdasarkan Laporan Tahunan BNM 2017, sebanyak 23% daripada permohonan pinjaman oleh PKS ditolak.

Tinjauan Ekonomi 2020 dan Laporan Survei Pertubuhan 2015 pula mendedahkan lebih daripada 70% keperluan pembiayaan PKS menggunakan sumber dalaman atau simpanan peribadi dan hanya sekitar 30% diperoleh daripada bank serta institusi kewangan pembangunan dan pinjaman mikro.

Pertumbuhan dan perkembangan PKS sangat bergantung kepada keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan bagi tujuan operasi dan pengembangan perniagaan.

Oleh itu, aliran tunai PKS sememangnya mengalami risiko yang tinggi lagipun sekarang dilanda krisis wabak jangkitan Covid-19. 

Sekiranya 70% lebih usahawan PKS beroperasi atas sumber pembiayaan persendirian, maka mereka adalah kumpulan yang paling terdedah kepada muflis akibat kehabisan tunai serta kekurangan bantuan kerajaan atau kemudahan pinjaman bank. 

Kekangan pinjaman melalui skim pembiayaan yang disediakan oleh agensi menyebabkan PKS tertumpu kepada institusi perbankan komersial dan tidak peka kepada skim pinjaman alternatif yang disediakan. 

Laporan Tahunan BNM 2016 menunjukkan penggunaan pendanaan alternatif hanyalah berjumlah RM3.3 bilion berbanding jumlah RM25.1 bilion keperluan permohonan dana oleh PKS. 

Maka itu, pakej pinjaman yang berfaedah rendah harus dilengkapi dengan akses yang tinggi supaya ia berkesan dalam pasaran.

Untuk meningkatkan aliran kewangan dalam pasaran, BNM telah melaksanakan beberapa dasar kewangan yang ketara.

Antaranya termasuklah menurunkan kadar faedah semalaman (OPR) daripada 2.75% kepada 2.5% pada 3 Mac. 

Kaedah ini dilaksanakan oleh BNM untuk meningkatkan kuantiti penawaran wang dalam pasaran serta mengakibatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah supaya kegiatan perbelanjaan, pelaburan dan pinjaman boleh ditingkatkan. 

Penawaran kemudahan pinjaman yang berkadar faedah sifar mungkin merisaukan sesetengah pihak bahawa ia tidak akan memberi impak kepada pasaran modal kerana pandemik Covid-19 masih berleluasa dan kuasa permintaan di pasaran merosot dengan ketara. 

Dengan kata lain, terperangkap oleh perangkap kecairan, iaitu satu situasi di mana penambahan dan pengurangan penawaran wang tidak memberi kesan kepada kadar faedah.

Ini bermakna kadar faedah tetap sama dan kegiatan pelaburan tidak dipengaruhi oleh dasar kewangan negara seperti di Jepun.

Bagaimanapun, tujuan kemudahan pinjaman yang berkadar faedah sifar untuk tempoh tertentu adalah untuk membantu syarikat supaya berkekalan dan mampu menampung kos penutupan sementara. 

KPRU berpendapat bahawa risiko perangkap kecairan seperti di Jepun berkemungkinan rendah berlaku di negara ini memandangkan potensi negara maju dan negara sedang membangun adalah berbeza.

Yang kedua, BNM telah menurunkan nisbah rizab berkanun daripada 3% kepada 2%. Rizab berkanun merujuk kepada simpanan mandatori sesebuah bank perdagangan yang tidak boleh digunakan untuk tujuan pinjaman. 

Pengurangan nisbah rizab berkanun bermakna kecairan pasaran modal akan ditingkatkan. Oleh itu, sebanyak RM30 bilion dijangka akan dilepaskan ke dalam pasaran modal. 

Dengan meningkatkan penawaran wang, BNM ingin mempergiatkan aktiviti pelaburan di pasaran domestik.

Kedua-dua langkah ini adalah antara dasar kewangan penting yang telah diambil oleh BNM bagi menyelesaikan masalah ekonomi akibat wabak jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, masalah di sini bukan sahaja berkaitan dengan penawaran wang di pasaran modal, ia juga menitikberatkan belah permintaan wang. Krisis Covid-19 dan PKP telah menghakis keyakinan pelabur tentang prospek ekonomi tempatan. 

Keruntuhan rantaian bekalan dan kemelesetan dalam permintaan telah menyebabkan syarikat perniagaan tidak mampu menanggung kredit yang tinggi. 

Maka itu, BNM perlu menyediakan kemudahan pinjaman yang lebih menarik dan mampu membantu syarikat untuk berkekalan selepas krisis.

Jika penurunan OPR dan nisbah rizab berkanun tidak dilengkapkan oleh kemudahan pinjaman yang menarik dan akses yang meluas, Malaysia mungkin terperangkap dalam perangkap kecairan seperti Jepun.

Dengan ini, KPRU menyarankan supaya kerajaan dan pihak berkenaan memudahkan proses permohonan pinjaman terutamanya kepada PKS agar ekonomi tempatan betul-betul dirangsang dan pekerjaan tidak terjejas akibat kemuflisan syarikat PKS secara besar-besaran. 

Pendek katanya, peningkatan jumlah dana skim pembiayaan tidak berkesan sekiranya akses kepada kemudahan tersebut terhad.

Selain itu, langkah yang boleh diambil oleh kerajaan ialah memanjangkan tempoh bayaran balik supaya PKS mempunyai lebih banyak aliran tunai untuk tujuan pelaburan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Sumber pembiayaan PKS yang tidak berbagai juga mendedahkan risiko yang tinggi ketika sumber tersebut mengalami krisis.

Data menunjukkan 73% PKS menggunakan sumber pembiayaan persendirian, hanya sekitar 27% menggunakan sumber daripada bank serta institusi kewangan pembangunan dan pinjaman mikro. 

Masalah ini menyebabkan krisis keberlangsungan PKS sekarang kerana banyak PKS sedang mengalami kehabisan sumber pembiayaan persendirian.

Dalam pada itu, syarikat PKS seharusnya mengambil pengajaran daripada krisis ini dan bersedia untuk transformasi kepada syarikat yang lebih bertahan kecemasan berbanding dengan sekarang. 

Seperti yang disebutkan oleh Winston Churchill: “never waste a good crisis!”. – 2 April, 2020.

* Yasmin Saw dan See Wei Ming, penyelidik KPRU.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen