Rakyat saja boleh tentukan PKP disambung atau tidak, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

PKP tidak perlu sampai ke fasa ketiga atau keempat jika rakyat patuh arahan duduk di rumah dan putuskan rantaian penularan Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Mac, 2020.

HANYA rakyat boleh menentukan agar kerajaan tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke fasa ketiga dan keempat, sekiranya mereka berjaya mematuhi arahan duduk di rumah dan memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata, hanya rakyat yang berkuasa untuk memastikan sama ada Ramadan dan Syawal tahun ini disambut seperti biasa, di luar tempoh PKP.

“Esok PKP fasa kedua akan dilaksanakan dan ramai bertanya apakah PKP kedua ini akan diteruskan menjadi PKP ketiga dan keempat.

“Adakah bulan puasa PKP dilaksanakan? Bolehkah kita akan berhari raya? Ramai rakyat nak kehidupan biasa,” kata menteri pertahanan itu, dalam sidang media hariannya di Putrajaya, hari ini.

“Yang boleh pastikan tiada PKP ketiga dan keempat adalah tuan-tuan dan puan-puan… jika kita patuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, saya percaya ketakutan untuk sambung PKP akan dapat kita selesaikan,” kata Ismail lagi.

PKP yang dilanjutkan untuk 14 hari lagi bermula esok dijadual berakhir lebih kurang 10 hari sebelum umat Islam mula berpuasa. Ramadan dijangka disambut pada 24 April.

PKP pertama kali dilaksanakan sejak 18 Mac selama dua minggu sehingga hari ini, namun diteruskan bagi fasa kedua sehingga 14 April ini. 

Dalam tempoh itu, hanya premis dan pekerjaan berkaitan barangan keperluan khas, seperti makanan yang dibenarkan beroperasi.

Saya percaya ketakutan untuk sambung PKP akan dapat kita selesaikan SOP kerajaan dipatuhi, kata  Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

Kawalan ketat esok

Semalam, Ismail mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang masuk fasa kedua bermula esok untuk tempoh 14 hari lagi akan lebih diperketatkan.

Perintah lebih ketat itu antara lain menghadkan tempoh operasi perniagaan perlu antara 8 pagi hingga 8 malam, termasuk kedai makan, stesen minyak, serta perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.

Teksi dan perkhidmatan kereta tumpang atau e-hailing dihadkan antara 6 pagi hingga 10 malam, manakala kenderaan persendirian langsung tidak dibenarkan membawa penumpang.

Ismail hari ini mengumumkan terdapat 742 lagi tangkapan semalam melibatkan pelbagai kesalahan di sekatan jalan raya dan kawalan pihak polis dan tentera, menurun berbanding 848 sehari sebelumnya.

“165 didakwa dengan 6 daripadanya didenda atau dihukum penjara.

“Saya harap trend ini berterusan dan tangkapan berkurangan. Orang ramai perlu sedar bahawa mereka hendaklah mematuhi arahan dan perintah,” katanya.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata polis dan tentera menjalankan 1,547 sekatan jalan raya dan memerika 383,388 kenderaan semalam. Operasi bersama itu menjalankan 20,586 pemeriksaan mengejut.

Sementara itu, Ismail menjelaskan semua yang ditangkap dibebaskan selepas diproses di balai polis bagi mengelak wujud kluster baharu penularan Covid-19.

“Mereka dibawa ke balai dan polis tentukan sama ada saman atau dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk ditentukan sama ada didakwa atau tidak.

“Tidak timbul soal sama ada mereka ditahan atau direman dalam lokap,” katanya. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen