16,500 kakitangan Air Canada bakal diberhentikan sementara 


Syarikat penerbangan Air Canada berpangkalan di Montreal menamatkan perkhidmatan kebanyakan laluan antarabangsa dan Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 31 Mac, 2020.

AIR Canada pada Isnin mengumumkan akan memberhentikan sementara 16,500 pekerja akibat penularan wabak Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Ia satu keputusan yang sukar tetapi tindakan itu terpaksa diambil memandangkan buat masa ini operasi syarikat semakin mengecil,” kata ketua eksekutif Calin Rovinescu menerusi satu kenyataan.

Syarikat penerbangan berpangkalan di Montreal itu menamatkan perkhidmatan kebanyakan laluan antarabangsa dan Amerika Syarikat.

Kesatuan sekerja penerbangan Air Canada berkata sebelum ini, 5,149 kru kabin akan diberhentikan sementara kerana wabak Covid-19.

Sementara itu, syarikat penerbangan kedua terbesar di Kanada, WestJet, berkata pada Selasa (24 Mac) kira-kira 7,000 pekerja diberhentikan.

Terdahulu pada Isnin, WestJet membatalkan semua laluan di rentas Atlantik dan Amerika Syarikat sehingga 4 Mei, melanjutkan penggantungan 30 hari sebelum ini kepada dua minggu lagi.

Dua lagi syarikat penerbangan Kanada - Air Transat dan Porter Airlines - menggantung semua penerbangan. – Bernama, 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen