Facebook, Instagram padam video presiden Brazil langgar penjarakan sosial


Presiden Brazil Jair Bolsonaro melanggar penjarakan sosial apabila berjumpa dan bergaul dengan penyokongnya di jalanan pada Ahad lalu. – Gambar AFP, 31 Mac, 2020.

FACEBOOK dan Instagram semalam memadamkan video Presiden Brazil Jair Bolsonaro dengan alasan ia adalah maklumat salah tentang Covid-19, sehari selepas Twitter berbuat perkara sama.

“Kami membuang kandungan dalam Facebook dan Instagram yang melanggar terma penggunaan kami yang tidak membenarkan maklumat salah yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepada individu,” kata Facebook dalam satu kenyataan.

Twitter pada Ahad lalu berkata ia memadamkan video tersebut selaras dengan peraturan pengurusan kandungan global yang bertentangan dengan maklumat rasmi kesihatan awam yang boleh mewujudkan risiko besar kepada jangkitan Covid-19.

Video menunjukkan pemimpin haluan kanan itu melanggar peraturan penjarakan sosial apabila berjumpa penyokongnya di jalan di Brasilia pada Ahad dan menggesa mereka terus meneruskan aktiviti ekonomi.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Luiz Henrique Mandetta sekali lagi mengulangi kepentingan penjarakan sosial untuk menentang virus itu. Brazil melaporkan kes terbanyak di rantau Amerika Latin dengan 4,256 kes dan 136 kematian setakat ini.

“Ketika ini, kita perlu mengekalkan penjarakan sosial tertinggi, supaya kita boleh beri masa kepada sistem kesihatan mengukuhkan dirinya.”

Bolsonaro berulang kali memperlekeh keseriusan wabak itu, menyifatkannya hanya sebagai “selesema” dan mendesak pembukaan semula sekolah dan kedai, dan pengasingan diri hanya untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Pembangkang mendesaknya meletak jawatan dalam satu kenyataan bersama semalam, menyifatkannya melakukan jenayah kerana salah urus wabak itu.

“Bolsonaro bukan hanya masalah politik, beliau sudah jadi masalah kesihatan awam dan perlu letak jawatan,” kata kenyataan yang ditandatangani puluhan pemimpin haluan kiri. – AFP, 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen