Bantuan setakat RM200,000 tak memadai, kata nelayan


Zaim Ibrahim Mohd Farhan Darwis

Persatuan nelayan mendakwa masih belum menerima sebarang pengumuman daripada mana-mana agensi perikanan setakat ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

WARGA nelayan kecewa kerana peruntukan khas yang diumum untuk mereka terlalu kecil untuk menampung pendapatan yang teruk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nelayan ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka juga tidak yakin agihan untuk mengadakan projek itu berdaya maju kerana banyak projek Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bertemu kegagalan.

Antaranya Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain yang melihat dana antara RM100,000 hingga RM200,000 itu tidak menguntungkan.

“Apabila kita merujuk laporan kemajuan PNK, banyak projek akhirnya gagal beri keuntungkan kepada nelayan.

“Nilai RM200,000 itu juga apa sangat boleh kita buat, jika mahu bangunkan satu-satu projek, ia adalah terlalu rendah lebih-lebih lagi, peruntukan itu untuk menjana hasil tiga hingga enam bulan,” katanya.

Oleh itu, lebih baik dana tersebut disalurkan secara terus kepada setiap nelayan, kata Che Ani yang turun ke laut melalui jeti Kuala Perlis.

Beliau juga musykil tentang penyaluran dana itu kerana tiada apa-apa pengumuman daripada mana-mana agensi perikanan setakat ini.

“Pemberian itu walaupun baik kepada nelayan, tetapi perlu dikaji semula untuk melihat sejauh mana menguntungkan nelayan.

“Saya berpendapat, lebih baik bagi bantuan secara terus kepada setiap nelayan, bukan kerana kami mahu wang tunai tetapi untuk kita elak daripada sesebuah projek gagal,” tambahnya.

Che Ani juga berkata, tempoh PKP selama dua minggu menyebabkan hasil laut tidak dapat dijual kerana peraih tidak mahu membeli ikan dengan jumlah yang banyak.

Hasil tangkapan itu akhirnya tidak sampai ke pasaran dan ramai nelayan tidak lagi turun ke laut kerana tidak mahu menanggung kerugian, katanya.

Keadaan sama berlalu di Langkawi, menurut seorang pengusaha penternakan ikan di pulau pelancongan tersebut, Johari Darus, yang tidak yakin bantuan melalui PNK memadai.

Kebanyakan nelayan tidak turun ke laut kerana enggan menanggung kerugian selepas hasil tangkapan mereka tidak sampai ke pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

Oleh itu sumbangan yang disalur kepada setiap PNK perlu digunakan dengan bijak dan berhati-hati bagi memastikan nelayan dibantu, katanya.

“Sejak (pelaksanaan) PKP, pendapatan nelayan terjejas. Kerajaan hendak bantu nelayan dengan saluran peruntukan ini, tetapi kami tidak nampak bagaimana ia dapat membantu.

“Dengan hanya contoh RM200,000 diberikan kepada PNK Langkawi, bagaimana seluruh lebih 2,000 nelayan di Langkawi akan dapat manfaat?

“Kalau hendak agih kepada setiap nelayan pun tidak boleh, seorang dapat RM 100 sahaja,” kata beliau.

Oleh itu, setiap pengerusi PNK perlu bijak dalam merangka projek yang sesuai untuk ahli persatuan mereka bagi memanfaatkan jumlah RM200,000 itu, katanya.

“Mungkin PNK boleh jalankan perniagaan atau laksanakan projek keusahawanan berasaskan hasil laut, contohnya untuk usahakan ikan kering.

“Tapi, tidak mungkin semua nelayan terlibat. Jadi perlu dijelaskan lebih terperinci tentang dana ini” ujar beliau.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan dana RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap PNK bagi nelayan dan Pertubuhan Peladang Kawasan bagi petani.

Bantuan itu disalurkan supaya dapat membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Peruntukan berjumlah RM64.4 juta itu bertujuan memastikan bekalan makanan terjamin bagi menghadapi kesan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi PNK Seberang Perai Mahadi Md Rozi pula melihat dana tersebut sebagai peluang baik untuk menjalankan perniagaan pertubuhannya.

Beliau yakin, dana itu boleh digunakan untuk melantik orang tengah di bawah persatuan sendiri supaya tidak perlu lagi menggunakan orang tengah lain yang banyak mengawal harga ikan.

“Ia bergantung kepada kaedah bagaimana sesebuah PNK boleh menjana pendapatan untuk bantu nelayan. Persatuan perlu mencari jalan dan ruang untuk menjalankan perniagaan berkaitan hasil laut,” kata beliau.

Beliau turut mengakui, jumlah bantuan itu tidak boleh digunakan untuk projek yang besar seperti membina prasarana dan kemudahan untuk nelayan anggotanya.

“Jika diikutkan, peruntukan RM100,000 hingga RM200,000 kecil sahaja, nak jalankan perniagaan runcit mungkin bolehlah.

“Kalau nak bina satu tempat untuk simpan hasil tangkapan, bina bilik sejuk untuk simpan tangkapan laut, tidak cukup sebab itu melibatkan kos jutaan ringgit,” jelasnya.

Menurut Mahadi, persatuan dengan 200 ahli itu setakat ini mereka merancang untuk mencari ikan di laut dan menjualnya sendiri di sekitar Seberang Perai dengan menyediakan khidmat penghantaran.

Seorang nelayan dari Sekinchan, Adnan Basri juga melihat bantuan melalui PNK dari sudut positif kerana ia sedikit sebanyak membantu terutama ketika jualan merudum.

“Baguslah kerajaan ada bagi bantuan, daripada tidak ada langsung… Saya ini pun baru dua hari turun ke laut. Semalam dengan hari ini sejak PKP berkuatkuasa sebab peraih tidak ambil banyak hasil tangkapan.

“Saya turun apabila peraih yang meminta saya ikan, jadi dengan peruntukan itu kita boleh gunakan untuk bina satu platform supaya pihak persatuan boleh menjualnya sendiri,” jelasnya. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen