Kedutaan bantu 4 warga Poland terkandas di zon transit KLIA2


KEDUTAAN Republik Poland di Malaysia mengambil segala langkah perlu bagi memastikan empat warganegaranya dapat pulang dengan selamat selepas terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Dutanya, Krzysztof Dębnicki, berkata kedutaan itu sering berhubung dengan rakyatnya  selepas mereka tidak dibenarkan memasuki Thailand dan dihantar kembali ke KLIA2 pada minggu lalu ekoran larangan pergerakan akibat wabak Covid-19.

Kumpulan itu terkandas di zon transit KLIA2 selepas Malaysia melarang kemasukan pelancong asing bermula 18 Mac bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Kedutaan sudah pun menulis surat khas kepada pejabat imigresen di lapangan terbang KLIA2 bagi meminta opsyen memindahkan mereka ke terminal KLIA1 bagi membolehkan mereka membeli tiket pulang ke Eropah.

“Pihak imigresen membalas surat berkenaan dengan positif,” katanya mengulas artikel yang disiarkan al-Jazeera mendakwa kedutaan tidak membantu kumpulan terbabit.

Beliau berkata, kedutaan membantu mendapatkan pilihan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Poland menerusi London selain mendapatkan pengesahan daripada Penerbangan Malaysia dan kedutaan di Britain dalam memastikan keempat-empat mereka dapat pulang dengan selamat.

“Kedutaan sudah memaklumkan kepada mereka mengenai pilihan yang ada untuk pulang ke Poland. Mereka boleh menggunakan penerbangan Poland, PLL LOT daripada  Heathrow menerusi operasi evakuasi kerajaan Poland dikenali “Flight Home” (#LotDoDomu).

“Mereka amat berterima kasih dengan tindakan yang diambil kedutaan dan menghantar ucapan penghargaan menerusi Whatsapp,” katanya.

Dębnicki berkata berikutan wabak Covid-19 ini, semua misi diplomatik Poland seluruh dunia berhempas pulas untuk membawa pulang warganegara itu pulang ke tanah air.

Kerajaan Poland sebelum ini melancarkan pelan tindakan “Flight  Home” (#LotDoDomu) dengan kerjasama penerbangan kebangsaan, LOT, bagi melaksanakan misi penerbangan khas di seluruh dunia.

Menerusi operasi itu, lebih 42,000 rakyat Poland, 700 warga Kesatuan Eropah (EU) serta ratusan pelancong negara lain, berjaya dihantar pulang, menerusi 270 penerbangan sewa khas ke lebih 50 negara dunia. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen