Kementerian sasar ambil 3,000 sampel ujian di Simpang Renggam dalam 10 hari


Kementerian Kesihatan akan melaksanakan lebih kurang 300 ujian sehari terutama kepada golongan sasar di Simpang Renggam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pengambilan sampel ujian di dua buah kampung di Simpang Renggam, Johor yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan selesai dalam tempoh 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM melaksanakan lebih kurang 300 ujian sehari terutama kepada golongan sasar.

“Penduduk di dua kampung itu seramai 3,000 orang, jadi kita jangka dalam tempoh 10 hari, kita akan dapat siapkan semua ujian itu.

“Pasukan KKM pergi dari rumah ke rumah untuk memastikan kita dapat kesan kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi. Kalau kita dapat kesan kumpulan berisiko tinggi walaupun tidak ada gejala,  kita akan tetap laksanakan ujian itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas soalan berhubung perkembangan pengambilan sampel ujian terhadap penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim di Simpang Renggam yang bermula Jumaat lalu. 

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini sebanyak 18,271 saringan Covid-19 telah dilaksanakan bagi kluster berkaitan jemaah tabligh Sri Petaling.

“Daripada jumlah itu sebanyak  14,111 sampel telah diambil di mana sampel positif adalah 1,290, negatif 8,083 manakala 4,738 menunggu hasil ujian.

Sementara itu, KKM turut menasihatkan agar sebarang pembahagian makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) harus mengikut peraturan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia bukan bidang kuasa kementerian itu.

“Kita kena ikut sebab sekarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan. Jadi kalau PKP, bebas bergaul ataupun turun padang, ia mungkin mendatangkan risiko pada NGO itu.

“Tindakan dan niat mereka bagus tapi PKP perlu dipertingkatkan,” kata Dr Noor Hisham yang menjawab soalan berhubung garis panduan yang perlu dilaksana NGO untuk mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen