Harga siling baharu topeng muka RM1.50 sekeping


Mohd Farhan Darwis

Topeng muka mula mendapat permintaan tinggi untuk mengelak jangkitan Covid-19 dan sukar diperolehi di pasaran terbuka terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

PUTRAJAYA menetapkan harga siling topeng muka pada kadar RM1.50 sekeping berkuatkuasa 1 April, turun 50 sen daripada paras yang diumumkan sebelum ini.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya terikat dengan harga pasaran dalam penetapan harga berkenaan memandangkan kebanyakan topeng muka tidak dihasilkan dalam negara.

“Pihak kerajaan arahkan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tentukan harga, kita bincang dan dapati topeng muka tidak banyak dikeluarkan dalam negara, kebanyakannya diimport.

“Kita terikat dengan harga, oleh itu kita setuju harga siling topeng muka RM1.50. 50 sen lebih murah daripada harga awal RM2. Bagaimanapun kita akan kaji semasa ke semasa,” katanya.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini beliau juga berkata kerajaan tidak menetapkan harga siling untuk cecair pencuci tangan.

“KPDNHEP belum tetapkan harga siling cecair pencuci tangan kerana ia ada jenama dan harga yang berbeza ikut jenama. Topeng muka sama sahaja.

“Setakat ini tidak ada ketetapan seperti topeng muka, tapi kita akan bincang dengan pihak KPDNHEP jika ada keperluan,” katanya.

Beliau tampil mengumumkan harga siling baharu topeng muka itu selepas kerajaan menerima banyak kecaman apabila menetapkan harga RM2 pada 21 Mac daripada harga 80 sen seunit sebelum itu.

Topeng muka tersebut mendapat permintaan tinggi untuk mengelak jangkitan Covid-19 dan sukar diperolehi di pasaran terbuka terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Perintah itu mula berkuatkuasa 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 14 April.

Sehingga semalam, 35 kematian direkodkan akibat wabak Covid-19 di dalam negara.

Dua kawasan diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan iaitu di Simpang Renggam, Johor dan Sungai Lui, Selangor. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen