NGO dilarang agih makanan terus kepada penerima, kata menteri


Dua lelaki memakai topeng muka membawa barangan keperluan makanan mereka semasa perintah kawalan pergerakan. Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata semua NGO perlu menghantar sumbangan ke pejabat JKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

SEMUA NGO hanya dibenar menghantar sumbangan makanan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak dibenarkan mengagih makanan secara terus kepada penerima, kata menteri kanan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata ia diputuskan untuk mengawal pergerakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Jelasnya, hanya unit Rela dan Angkatan Pertahanan Awam dibenar mengedar makanan kepada penerima.

“Kita tidak boleh (biarkan) sebahagian bebas keluar rumah dengan alasan hantar makanan sedangkan sebahagian tidak dibenarkan keluar rumah.

“Oleh itu saya ingin nasihatkan semua NGO yang ingin bantu supaya hantar bekalan makanan ke pusat yang diwujudkan oleh kementerian bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap daerah.

“Pejabat JKM akan diguna sebagai pusah kumpul barang untuk dibekalkan kepada penduduk setempat dan penghantaran rumah ke rumah kita buat keputusan yang akan hantar adalah Rela dan APM,” katanya. 

Tambahnya garis panduan baharu bagi sumbangan barangan keperluan itu akan diumumkan kelak.

Aktiviti sukarelawan oleh pelbagai NGO dan pertubuhan dikesan mula digerakkan sejak PKP mula dikuatkuasa pada 18 Mac.

Sumbangan itu penting terutama bagi golongan B40 serta pekerja tanpa pendapatan tetap yang banyak terjejas apabila PKP berkuatkuasa.

Kerajaan mengumumkan lanjutan PKP sehingga 14 April untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Selain itu, sebanyak RM250 bilion diumum dalam pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi kemelesetan ekonomi kesan penangguhan kegiatam ekonomi sepanjang PKP.

Jangkitan Covid-19 setakat ini memakan korban 26 jiwa daripada seramai 2,161 yang dikenalpasti positif penyakit tersebut. – 28 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen