Putrajaya digesa gubal akta anti diskriminasi lindungi wanita bertudung


Asila Jalil Ikhwan Zulkaflee

KERAJAAN perlu menggubal undang-undang anti diskriminasi di tempat kerja bagi melindungi hak-hak pekerja termasuk berhubung penjagaan aurat bagi mereka yang beragama Islam, gesa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, mereka mahu kerajaan masuk campur supaya isu diskriminasi ini tidak berlarutan.

“Satu pelaksanaan undang-undang adalah wajar bagi memastikan majikan berhati-hati dan tidak membuat keputusan berasaskan perkauman.

“Perlu ada satu tindakan yang lebih tegas dan kami rasa ini adalah satu daripada diskriminasi yang telah berlaku di negara ini,” katanya pada sidang media bersama 15 NGO Melayu lain di ibu pejabat MTEM di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

Yazid turut menempelak alasan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menyatakan larangan memakai tudung kepada pekerja wanita Islam yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai tidak masuk akal.

“Perlu juga diperhalusi SOP di setiap sektor pekerjaan di negara ini agar ia harmoni dengan setiap agama dan kepercayaan sebagaimana majikan larang solat Jumaat dan bertudung.

“Alasan yang diberikan mereka (MAH) lebih teruk daripada tindakan (melarang memakai tudung itu). Ramai yang marah dengan justifikasidiberikan, yang memberi gambaran ia boleh diterima,” katanya.

Gesaan ini seiring dengan cadangan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menggesa undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman setimpal kerana mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama.

MAH sebelum ini mempertahankan tindakan pengusaha hotel melarang pekerja wanita Islam yang bekerja di kaunter memakai tudung.

Ia susulan pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia yang menerima banyak aduan daripada pekerja hotel.  

Isu tersebut betambah hangat apabila Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Noh Omar mengeluarkan arahan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel yang mempraktikkannya.

Dalam pada itu, MTEM turut mendesak agar Pengerusi MAH, Samual Cheah Swee Hee agar meletak jawatan kerana tidak memahami prinsip hospitaliti dalam sektor perkhidmatan hotel. – 17 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen