Siapa perlu dibantu – syarikat mega atau rakyat?


BEBERAPA syarikat penerbangan mega cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Ini termasuklah syarikat mega seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia Group, Malindo Airways, dan Firefly. 

Sektor penerbangan di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia merupakan antara yang terkesan dari situasi Covid-19.

Susulan tersebut, pekerja dari syarikat penerbangan terpaksa mengalami situasi seperti pemotongan gaji, penerimaan gaji secara berkala, dan cuti tanpa gaji. 

Jadi golongan manakah yang paling layak untuk menerima bantuan berbilion ringgit dari kerajaan – syarikat mega atau rakyat yang sedang menderita? 

Air Asia mengumpul sebanyak keuntungan bersih sebanyak RM1.98 bilion pada 2018 berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, mengikut Forbes (50 richest on 2020 Forbes Malaysia Rich) Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun berada di tangga ke-41 dan 43 dengan jumlah kekayaan masing-masing AS$335 juta dan AS$315. 

Syarikat besar ini mengaut keuntungan dari tahun ke tahun. Jadi berbaloikah jika bantuan diberikan kepada syarikat-syarikat ini dan bukan kepada rakyat yang terkesan? 

Kenapa harus diberikan wang kepada syarikat atau individu yang sudah kaya, supaya mereka dapat mengekalkan kekayaan mereka? 

Selama ini apabila mereka mengaut keuntungan, ia tidak dikongsi bersama rakyat namun apabila keadaan menjadi susah mereka meminta duit rakyat untuk membantu mereka? 

Berdasarkan kajian daripada Khazanah Research Institute (KRI), sebanyak 20% golongan berpendapatan rendah hanya membeli keperluan asas sahaja seperti makanan, perumahan, dan pakaian. 

Ini menunjukkan kehidupan mereka hanyalah untuk memastikan kelangsungan hidup. Mereka tiada masa bagi melakukan hobi bermain golf atau menunggang kuda.

Apakah langkah dan strategi kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan ini? 

Kita dapat lihat, pelbagai organisasi NGO bertungkus lumus membantu golongan yang susah semenjak terputus jalan untuk mencari rezeki sepanjang tempoh kawalan ini.

Terdapat ramai juga orang yang tidak mempunyai makanan di rumah dan terpaksa mengharapkan bantuan daripada NGO untuk memperoleh makanan. 

Golongan ini yang sewajarnya dibantu dan diberi pengkhususan oleh kerajaan dan bukannya golongan yang mampu untuk menghantar anak-anak ke institusi swasta, makan di tempat mahal, dan membeli pakaian daripada pereka fesyen terkemuka. 

Di United Kingdom (UK), keputusan untuk membantu syarikat penerbangan dari segi kewangan masih dalam pertimbangan.

Syarikat penerbangan juga dimaklumkan untuk tidak mengharapkan bantuan kewangan dari kerajaan. 

The Guardian melaporkan terdapat syarikat penerbangan yang tetap mahu memberikan dividen kepada pemegang saham pada situasi genting ini. 

Pada pendapat saya, kemungkinan ini membuatkan kerajaan di UK merasakan syarikat ini hanya ingin menjaga keuntungan sendiri dan bukannya ingin membantu memulihkan keadaan. 

Kerajaan baharu mengumumkan akan komited dalam meneruskan Wawassan Kemakmuran Bersama 2030.

Antara objektifnya adalah untuk mengurangkan jurang kekayaan antara yang kaya dan miskin. Jurang akan menjadi lebih besar jika golongan tidak berkemampuan ini tidak dibantu sekarang. 

Justeru, tunjuklah bahawa kerajaan serius dengan tidak memberi “bailout” kepada syarikat-syarikat besar, sebaliknya memberikannya kepada rakyat seperti: 

a. Kerajaan mengecualikan golongan B40 dan M40 daripada membayar bil air dan elektrik bagi tempoh enam bulan. Jumlah bantuan ini kecil jika dibandingkan dengan bantuan kewangan yang harus diberi kepada syarikat besar. 

Selain itu, sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, orang ramai akan lebih kerap menggunakan sumber air dan elektrik bagi menjalankan aktiviti seharian. 

b. Kerajaan mengecualikan pembayaran bagi pekerja sektor e-hailing kepada JPJ bagi tahun yang akan datang.

Ini adalah untuk mengiktiraf pengorbanan mereka dalam memberi kita servis perkhidmatan seperti pengangkutan dan penghantaran makanan/barang sepanjang tempoh krisis ini. 

Sekali gus, membantu rakyat dalam memudahkan pelaksanaan tempoh kawalan pergerakan dengan lebih berkesan.

c. Kerajaan juga harus membantu rakyat dalam memberikan diskaun dalam pembayaran internet bagi yang menggunakan perkhidmatan internet TM. Ini kerana, TM masih memiliki monopoli bagi internet kos rendah di Malaysia. 

Kebanyakan orang yang bekerja dari rumah menggunakan perkhidmatan internet bagi mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

Selain itu, para pelajar yang berada di sekolah, kolej, dan juga universiti tidak harus dilupakan, kerana mereka juga akan menggunakan perkhidmatan internet bagi melaksanakan tugasan mereka. – 26 Mac, 2020.

* Sophie Shakur, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen