Solidariti muzik hadapi Covid-19 


Zainal Rashid Ahmad

KINRYY, remaja Seoul berusia 21 tahun. Aktif menggunakan aplikasi Omegle sebagai cara berkomunikasi dengan dunia luar. 

Ada dua sebab Kinryyy memilih dunia Omegle. Pertama, dia fasih bahasa Inggeris dan kedua, mahu berkomunikasi dengan remaja seluruh dunia melalui muzik. 

Kinryyy mendedahkan dalam saluran YouTubenya, masalah lebih teruk kerana tidak berani berbual dengan gadis sebaya. Selama 11 tahun, Kinryyy belajar di sekolah yang khusus untuk lelaki. 

“Saya aktif Omegle bagi melatih cara berkomunikasi dengan gadis sebaya. Juga, mengembangkan bakat nyanyian,” katanya kepada pelanggan saluran. 

Sebagai peminat YouTube, saya melanggan saluran Kinryyy sejak tiga bulan lalu. 

Pertama, kerana ingin memahami apa itu aplikasi Omegle. Kedua, kerana Kinryyy memuat naik semua aktivitinya di Omegle. Sekaligus membantu kita memahami dunia komunikasi remaja di aplikasi video maya itu. 

Kinryy fasih berbahasa Inggeris dan menyanyikan semua lagu Inggeris. Dalam Omegle, Kinryyy menghiburkan semua kontaknya dengan menyanyi. 

Variasi muziknya luas – dari lagu klasik Frank Sinatra ‘Fly Me To The Moon’ hingga ke lagu terkini Ed Shreen ‘Perfect’. 

Cuma, yang mahu ditulis ialah sikap kemanusiaan Kinryyy. 

Komitmennya berkomunikasi dengan gadis-gadis yang diisolasi kerana disyaki Covid-19, satu gambaran remaja cuba membantu walaupun dalam had Omegle. 

Menyedari ratusan ribu dikuarantin kerana disyaki terjangkit, Kinryyy meluaskan tanggungjawab komunikasinya. Layanan istimewa diberikan pada kontak yang dikuarantin kerana Covid-19. 

Antaranya, remaja di Paris. 

“Saya sudah sembilan hari dikurung. Tengok bilik ini, kecil dan saya tidak dapat berbual dengan sesiapa,” kata gadis berusia 16 tahun. 

Dengan bilik tertutup dan diberikan baju hud tebal berwarna putih, gadis Perancis ini menggunakan aplikasi Omegle untuk berkomunikasi dengan dunia luar. 

“Hidup saya teruk dikurung begini dan saya rasa ingin mati,” kata gadis itu. 

Segera Kinryyy berkata: “Dengar sini manis… saya akan menyanyikan apa saja lagu untuk awak. Sebutkan saja, saya akan hiburkan awak.” 

Omegle ialah aplikasi sembang video yang popular di kalangan remaja. Purata akses globalnya mencecah 200 ribu akuan yang sentiasa aktif serentak. Hampir 80 negara memiliki aplikasi ini yang membolehkan pemilik akaun berinteraksi secara video langsung. 

Ini bukan aplikasi atau trend baharu. Netizen sudah membentuk koloni video secara meluas dalam aplikasi Smule dan TikTok. Panggilan video sudah dianggap trend biasa sejak wujud komunikasi video digital pada 2008. 

Omegle hanya satu antara puluhan aplikasi popular. Bezanya, trendnya paling terkini. 

Berbalik pada Kinryyy sebagai YouTuber, sikapnya satu karektor terpuji. Apa lagi ketika dunia bermurung akibat ancaman Covid-19. 

Walaupun mengalami krisis keyakinan diri yang teruk, Kinryyy mengunakan Omegle dengan niat yang baik. Malah, kini membantu menghiburkan remaja yang diisolasi kerana Covid-19. 

Gadis Paris itu terus menangis apabila Kinryy mengatakan: “Saya akan menemani kamu. Memang sekarang masa yang sukar untuk kita semua.” 

“Terima kasih,” jawab gadis itu sambil terus menangis tanpa henti. 

“Ok… awak mahu lagu apa?” Tanya Kinryyy. 

Sambil menangis dan menekup mukanya - gadis itu menjawab: “Apa-apa saja.” 

Itulah Kinryyy. Dia menyanyi dan menyanyi. Dari ‘Fly Me To The Moon’ hingga ‘Perfect’ Ed Shereen. 

Selain menghibur, Kinryyy menghabiskan masa yang panjang berbual dan menemani gadis itu. “Berbuallah… hingga kamu tenang. Saya OK untuk terus menyanyikan lagu,” kata Kinryyy. 

Orkestra beranda Bavaria buat Itali 

The Guardian menyiarkan video yang menyentuh hati. Bagaimana penduduk di sebuah kawasan perumahan di Bavaria, Jerman mengadakan konsert atas beranda apartmen. Ketika perintah jarak sosial dijalankan di Jerman, penduduk Bavaria tetap mahu bersolidariti dengan warga Itali. 

Itali negara paling teruk dilanda krisis. Dalam tempoh tiga minggu serangan Covid-19, 6,077 kes kematian dicatatkan. Angka pesakit 63,928. Purata 9% kematian menjadikan Itali pusat wabak paling bahaya di dunia. 

Bavaria antara bandar terbesar di Jerman dan video konsert kecil lagu ‘Bella Ciao’ menviral dan meruntun hati masyarakat dunia. 

The Guardian turut menyiarkan video klip ini sebagai laporan utama. Bella Ciao atau ‘Selamat Tinggal Sayang’ ialah lagu kebangkitan popular di Itali apabila Perang Dunia Kedua berakhir. 

Masyarakat Itali menyanyikan lagu itu tanda kebebasan dari cengkaman rejim fasis yang menyokong Nazi di Jerman ketika perang meletus 1941 hingga 1945. 

Video Bavaria memaparkan pemuzik mengalunkan irama dari beranda apartmen masing-masing. Kanak-kanak dan orang dewasa menyanyi. Bendera Itali direntang dan video dari Bavarian memberikan impak moral yang besar kepada warga Itali. 

Video konsert dari beranda Bavaria ini turut popular di Youtube. 

Begitulah muzik melahirkan solidariti ketika penduduk dunia sedang menderita Covid-19. 

Lebih 350 kes global dilaporkan dengan lebih 15 ribu kematian. Manakala 1 bilion penduduk dunia sedang berdepan arahan ‘lockdown’. – 25 Mac, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen