Yang sudah di kampung, jangan balik dulu ke bandar, kata Ismail Sabri


Ravin Palanisamy

Sekatan jalan raya di semua 23 plaza tol di sepanjang lebuh raya antara negeri dibuat bagi memastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

WARGA kota yang balik ke kampung halaman masing-masing minggu lalu, semasa atau sebelum perintah pergerakan dikuat kuasa, diminta agar tidak segera pulang ke bandar, kata menteri kanan Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertahanan berkata polis sudah membuat sekatan jalan raya di semua 23 plaza tol di sepanjang lebuh raya antara negeri bagi memastikan perintah tersebut dipatuhi.

Katanya, pada masa ini, tujuh hari selepas perintah itu dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, pematuhannya meningkat kepada 95 peratus namun sudah ada trend mereka yang balik kampung minggu lalu mahu pulang semula ke bandar.

“(Ada) trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja dan saya harap ia tidak dilakukan sama sekali seperti yang telah dinasihatkan sebelum ini.

“Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri kanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, hari ini. 

Dua hari selepas mengumumkan perintah kawalan tersebut, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan perintah berkenaan bukan peluang untuk warga di bandar pulang ke kampung atau bercuti.

Ia adalah langkah perlu yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular dan dapat dikawal, tegasnya.

“Tidak perlu keluar ke mana-mana, dengan cara ini anda terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini Insya-Allah dapat dibendung.

“Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan. Bukan untuk membolehkan anda balik ke kampung, penuhi jemputan kenduri, beli-belah di pasar raya, bersiar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

“Tujuan (Perintah Kawalan Pergerakan) ialah supaya anda duduk di rumah,” kata perdana menteri.

Dalam pada itu, Ismail juga memaklumkan sejak perintah berkenaan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, 28 individu ditahan kerana tidak mematuhinya. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen