Pakej rangsang ekonomi perlu tumpu perlindungan pekerjaan dan isi rumah, kata Khazanah


PAKEJ rangsangan ekonomi pusingan kedua bagi menangani impak Covid-19, memerlukan peralihan strategi daripada merangsang ekonomi kepada melindungi potensi produktif berikutan kedua-dua krisis kesihatan serta ekonomi kian meruncing, demikian menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Menurutnya, teras strategi perlindungan itu perlu memberi fokus kepada program mengekalkan aspek pekerjaan secara besar-besaran bagi memastikan isi rumah memiliki sumber mencukupi untuk mengharungi pandemik dalam masa beberapa bulan lagi apabila syarikat mula melaksanakan pendekatan penjimatan kos masing-masing.

Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses merangka pakej rangsangan ekonomi kedua yang dijadual diumumkan pada 30 Mac 2020 dan merupakan sokongan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion yang diumumkan pada Februari lepas.

Dalam pakej pertama, kerajaan memperkenalkan satu versi strategi pengekalan pekerjaan dikenali Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang merupakan lanjutan daripada Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

ERP menyediakan bayaran RM600 kepada pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Ini merupakan satu inisiatif baik memandangkan terdapat kemungkinan bahawa syarikat-syarikat akan melaksanakan langkah pengurangan pekerja untuk mengurangkan impak akibat Covid-19 yang merupakan kaedah terbaik dari segi isu terbabit.

“Namun, ERP itu sahaja masih tidak mencukupi atas beberapa sebab. Ini disebabkan ia hanya menumpukan aspek cuti tanpa gaji sedangkan masih ada beberapa langkah pengurangan lain yang boleh dilaksanakan syarikat seperti pengurangan gaji/upah atau jam kerja dan tidak mendorong kepada pembuangan pekerja atau melaksanakan langkah cuti tanpa gaji,” kata Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI Christopher Choong Weng Wai.

Beliau berkata demikian menerusi laporan penyelidikan bertajuk “Mitigating the Economic Shocks of COVID-19: Protect Our Workers” (Mengurangkan Kejutan Ekonomi Akibat Covid-19 : Melindungi Pekerja Kita).

Sehubungan itu, beliau berpendapat, usaha merangka program terbabit sewajarnya mempertimbangkan seperti (pertama) aspek pengurangan gaji oleh syarikat khususnya dalam konteks hubungan majikan-pekerja yang kukuh dalam firma lebih kecil yang mempunyai kelebihan dari segi dorongan tanggung jawab bersama kerajaan dan perniagaan dalam sokongan terhadap pekerja.

Kedua, ERP itu tidak membabitkan kelompok mereka yang bekerja sendiri dan bukan pekerja biasa yang tidak membuat caruman kepada EIS tersebut.

Menurutnya, menerusi penambahan sektor pengangkutan penumpang kepada 19 sektor, bermakna mereka yang bekerja sendiri diwajibkan mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sekali gus mewujudkan kaedah untuk menjejaki serta menyalurkan bantuan kepada kumpulan tersebut.

Ketiga, kadar bayaran RM600 itu adalah di bawah paras gaji minimum dan mewakili kira-kira 26 peratus daripada gaji purata.

Oleh itu, jika dilihat dari segi menggantikan pendapatan, jumlah berkenaan mungkin tidak mencukupi bagi membantu pekerja terjejas, terutama yang bergaji rendah serta dibebani pelbagai komitmen kewangan dan obligasi hutang.

“Sehubungan itu, dua perkara segera yang boleh dilakukan oleh kerajaan iaitu pertama, memperluaskan perlindungan ERP kepada pekerja yang terbabit dalam pengurangan gaji seperti bekerja sendiri dan menyamai dengan manfaat dinikmati pekerja bercuti tanpa gaji. Kedua, jadikan gaji minimum RM1,200 sebagai asas pengiraan bagi pembayaran jumlah bayaran terbabit,” katanya.

Menurut Choong, usaha memperluaskan perlindungan dan meningkatkan bayaran tersebut akan memerlukan suntikan dana kerajaan ke dalam EIS.

Dalam pakej pertama, peruntukan bagi membantu pekerja yang bercuti tanpa gaji adalah RM120 juta.

Jumlah itu perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda dalam jangka pendek dan seterusnya ditingkatkan dalam jangka sederhana sehingga jangka panjang.

Beliau berkata, langkah mempergiatkan usaha pengekalan pekerja itu adalah penting bagi memastikan isi rumah tidak terjejas akibat kerugian disebabkan oleh kehilangan mata pencarian kerana kejutan jangka pendek selain membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang produktif sebaik krisis ini berakhir.

“Namun, mencari ruang fiskal bagi menyokong peningkatan skala pengekalan pekerjaan adalah satu cabaran. Malah, selain menggalakkan pengekalan pekerjaan, negara juga memerlukan pusingan suntikan baharu daripada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk menangani pelbagai isu seperti sokongan kepada pekerja barisan hadapan serta memperluas bantuan sosial dan perlindungan kesihatan

“Bagaimana pun, ruang fiskal kita pada ketika ini adalah terhad berikutan keperluan menseimbangkan belanjawan atau satu peraturan penting yang dilaksanakan Malaysia sebagai langkah fiskal berhemat. Dalam jangka pendek, kerajaan hanya boleh membuat pinjaman untuk pembangunan atau perbelanjaan modal dengan imbangan fiskal semasa tidak boleh berada dalam negatif.

“Malangnya, imbangan fiskal semasa Malaysia adalah rendah dan peningkatan ketara dalam belanjawan akan menyebabkan kita terpaksa melanggar peraturan fiskal. Kita tidak boleh melakukannya tanpa memansuhkan undang-undang yang diwujudkan untuk melindungi peraturan ini,” katanya.

Menurut Choong, walaupun usaha meningkatkan hasil bukan satu pilihan pada masa ini dengan mengambil kira aktiviti-aktiviti ekonomi yang turun mendadak dan mengurangkan kutipan cukai, kerajaan sebaliknya boleh merancang pakej ekonomi yang menjurus kepada pembangunan dan perbelanjaan modal.

“Namun, ini bermakna perkara-perkara seperti subsidi dan bantuan sosial yang diterima syarikat-syarikat dan isi rumah dengan lebih cepat, tidak dapat ditingkatkan secara ketara. Ia sekali lagi bukanlah satu pilihan untuk mengekang lebih banyak kejutan pantas ini.”

Pilihan lain adalah memperuntukkan semula sumber belanjawan yang sedia ada.

Menurutnya, Belanjawan 2020 berjumlah RM297 bilion itu masih dalam suku pertama tahun ini dan bermakna kerajaan masih mempunyai ruang untuk memindahkan sumber daripada tidak perlu kepada perkara-peraka yang perlu atau utama.

Namun, wujud perselisihan pendapat mengenai langkah untuk tidak membiayai kementerian bukan kritikal, katanya.

“Dalam jangka pendek, terdapat merit terhadap idea untuk menyusun semula peruntukan sumber dana ini dan merupakan penyelesaian paling pragmatik untuk kita pada masa ini,” kata Choong.

Bagaimana pun, jelas beliau, sebarang pemindahan sumber atau pertimbangan untuk melonggarkan peraturan fiskal sebagai persediaan menangani keadaan bagi jangka sederhana juga memerlukan Parlimen bersidang bagi mendapatkan kelulusan terhadap perkara berkaitan.

“Ini bagaimana pun, akan dihalang oleh pelbagai faktor kekangan seperti keadaan politik semasa, Covid-19, penurunan mendadak harga minyak dan kebuntuan suasana politik yang menjadi cabaran dari segi mendapatkan pilihan ruang fiskal.

“Dalam keadaan kritikal ini, kita perlu mengumpulkan kepercayaan secukupnya dan tidak partisan atau berpihak kepada mana-mana kelompok demi mengatasi kebuntuan ini,” katanya. – Bernama, 24 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen