Kerajaan perlu berani tangani ekonomi kesan Covid-19


KEGIATAAN ekonomi perlu diteruskan untuk mengurangkan impak Covid-19 kepada ekonomi negara, jika tidak ekonomi Malaysia pasti akan mengalami kemelesetan. Kita jangka keadaan “separa lockdown” ini akan berterusan sehingga sebulan untuk memecahkan rantaian jangkitan. 

Pertamanya kami ingin menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan, agensi kerajaan dan institusi kewangan dan lain lain yang telah melancarkan pelbagai langkah termasuklah Special Relief Facility bagi menghadapi Covid-19. Pelbagai langkah yang baik dan kita semua hargai. 

Permulaan yang baik bagi kerajaan yang diumumkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan YAB Muhyiddin Yassin, perdana menteri, susulan daripada pengumuman pakej stimulus ekonomi daripada YB Dr Mahathir, pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Nasional sebelum itu. 

Namun merujuk kepada kenyataan daripada pelbagai pemegang taruh dan membandingkan dengan apa yang berlaku di bawah, ia jelas belum cukup. Sesuatu yang luar biasa perlu dilakukan dalam keadaan yang juga seperti ini. 

Banyak syarikat besar yang mampu untuk terus berfungsi dengan mengurangkan pekerja dan berkhidmat dari rumah . Realitinya semua sektor ekonomi perlu terus berfungsi untuk menyokong peniaga dan perniagaan walaupun dengan kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan. 

Kita menaruh harapan pada kerajaan untuk membentangkan Pakej Rangsangan yang lebih komprehensif, yang akan di bentangkan pada hujung bulan ini, sebagaimana yang diutarakan sebelum ini. 

Situasi yang tidak dijangka memerlukan penyelesaian yang luar dari kebiasaan. 

Kita juga mengambil kesempatan ini untuk ingin memuji cadangan kerajaan untuk meluluskan sebanyak RM500 juta untuk Kementerian Kesihatan dan pelbagai kaedah untuk memungkinkan lebih banyak wang kekal dalam poket rakyat untuk dibelanjakan. Ini merupakan langkah permulaan yang baik! 

Harapan kami rangsangan seterusnya akan membantu golongan lain dengan lebih bermakna. 

Oleh itu, MTEM dan DPMM mencadangkan beberapa langkah tambahan yang boleh diambil kira oleh kerajaan malaysia bagi membantu usahawan-usahawan yang terjejas oleh Covid-19 terutamanya dan rakyat Malaysia secara amnya seperti berikut: 

1. Menunda beberapa pembayaran dan obligasi yang diwajibkan terhadap perniagaan. Pembayaran dan obligasi wajib oleh perniagaan seperti pembayaran EPF, SOCSO dan bayaran-bayaran berkaitan adalah dicadangkan supaya dibuat pengecualian bagi sekurang-kurangnya 6 bulan yang akan datang.

Ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada peniaga-peniaga terutamanya daripada kalangan PKS yang mewakili lebih 70% daripada populasi perniagaan di Malaysia. 

2. Percepatkan Pengeluaran Dana Dana PKS yang telah lulus atau hampir lulus. 

Pembiayaan perniagaan mudah lulus. Kerajaan dan agensi-agensi yang terbabit, tidak boleh menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk melambatkan atau menghentikan pemberian dana-dana usahawan. Usahawan PKS yang dalam kategori start up dan mikro atau nano amat memerlukan dana berbanding dengan syarikat yang lebih besar yang sudah kukuh. 

Jangan diranapkan benih-benih ekonomi kita yang baru ingin membangun hanya kerana tidak mahu bermesyuarat secara online! 

Kita terima laporan bahawa proses pendanaan dihentikan kerana mesyuarat tidak dilakukan secara fizikal. Semua dana modal awal mesti diteruskan dengan kadar segera! Seed funding must continue. 

Bank-bank dan badan pembiayaan yang lain sarankan untuk mengeluarkan lebih banyak soft loan kepada usahawan-usahawan bagi memudahkan kecairan dan juga pembiayaan pembangunan semula perniagaan masing-masing yang telah jatuh disebabkan Covid-19. 

Kadar faedah sebanyak tiga peratus hingga ke empat peratus adalah dicadangkan dan pembayaran pembiayaan antara 5 ke 10 tahun bagi membantu mereka kembali menyumbangkan kerancakan ekonomi negara. 

3. Pengecualian dari pembayaran SST, dan cukai-cukai berkaitan pelancongan dan industri yang hilang punca pendapatan. 

Pengecualian daripada pembayaran SST dan cukai-cukai lain walaupun mengurangkan kutipan cukai kerajaan tetapi ini adalah amat penting dan signifikan kepada kecairan dalam pasaran dan mengurangkan tekanan kepada perniagaan terutamanya perniagaan kecil dan sederhana.

Pengecualian cukai pelancongan adalah amat baik bagi mempromosi industri pelancongan yang terjejas teruk sepanjang permasalahan Covid-19 ini. Dicadangkan ia dibuat daripada April sehingga Disember 2020. 

4. Ekonomi harus terus berjalan bagi mengurangkan impak kelembapan ekonomi pasca PKP Covid-19 

Fokus pada PKS. Industri kecil dan sederhana adalah antara pemberi gaji terbesar dalam ekonomi Malaysia. Adalah dicadangkan supaya double deduction diberikan kepada majikan yang membayar gaji mereka yang terlibat dengan komuniti yang sepatutnya bercuti di bawah kategori cuti tanpa gaji. 

Kami juga berpendapat jika insentif diberikan kepada majikan yang menggaji mereka yang berada di dalam kategori B40, ia akan menyebabkan keresahan rakyat di kategori terbawa akan lebih diambil kira dan kebajikan mereka lebih terjamin. 

Antara insentif yang boleh diberikan ialah double deduction kepada perbelanjaan-perbelanjaan penggajian seperti disebutkan. Banyak contoh diluar yang boleh digunakan sebagai contoh di Norway kerajaan sanggup, membayar 75% gaji pekerja PKS. 

Selain itu, dalam memastikan kepentingan dan kaedah tersusun bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 melalui PKP, kerajaan harus memastikan ekonomi negara tidak terus lumpuh. 

Ini dapat dipastikan melalui dua kaedah: 

1) Memastikan fungsi-fungsi penyampaian kerajaan yg kritikal dalam ekonomi dapat terus berjalan. Proses identifikasi keutamaan dalam memastikan urusan transaksi, kelulusan dan sehubungannya yang melibatkan hartanah, perniagaan, geran, lesen, permit, dana dan sewaktu dengannya dapat diteruskan.

Pada ketika ini laporan dari usahawan dan perniagaan semua fungsi tersebut dalam kerajaan telah lumpuh dan bakal memberi kesan lebih teruk kepada ekonomi bila RMO diperpanjang (yang dilihat besar kemungkinan berlaku). 

2] Polisi Kerja dari Rumah (Work From Home Policy - WFH) dan Pentadbiran Elektronik (E-Administration) perlu dilaksanakan oleh Kerajaan, GLC, Bank dan Syarikat Swasta Besar. Walaupun dengan memastikan penjarakkan sosial dan pertemuan fizikal dan perkhidmatan kaunter yang minima. 

Polisi WFH dan EAdministration harus digerakkan secara proaktif oleh Kerajaan, GLC, Bank dan Syarikat Swasta besar untuk memastikan transaksi ekonomi terus berjalan. Pada ketika ini GLC besar seperti Bank yang sepatutnya mempunyai SOP yang lebih tersusun dan keupayaan tenaga besar juga gagal memberikan perkhidmatan kepada individu dan perniagaan yang menyebabkan aktiviti ekonomi tergendala dan membantutkan ekonomi. 

Kesimpulan kami adalah, kita amat menyokong dan menyambut baik segala arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan namun kerajaan perlu kreatif dan berani supaya kegiatan ekonomi dapat diteruskan jika tidak lebih teruk padah yang akan melanda. 

Demi survival negara, kita tidak boleh tidak untuk tunggu Covid-19 berakhir untuk tindakan susulan yang bermakna . Ekonomi negara dan masa depan negara sudah tidak akan seperti dulu. 

Oleh itu kerjasama rakyat, kerajaan dan seluruh komuniti ekonomi juga diperlukan supaya yang dikendong tidak tercicir dan yang dikejar pula tak dapat, tidak berlaku. Sesuai dengan ucapan Perdana Menteri, di sinilah kita perlu ingat pepatah “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Insya-Allah , Malaysia Boleh! – 24 Mac, 2020.

* Abd Halim Husin adalah presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia/pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Ahmad Yazid Othman adalah ketua pegawai eksekutif MTEM.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen