Malaysia tidak sedia kendali ujian Covid-19 besar-besaran


Alfian Z.M. Tahir

Pakar virologi berkata sukar melaksanakan ujian Covid-19 secara besar-besaran di Malaysia kerana kekangan masalah logistik dan jumlah kit ujian. – Gambar EPA, 20 Mac, 2020.

MALAYSIA tidak ada kapasiti untuk mengikut langkah saintis di sebuah bandar kecil di Itali di mana mereka dapat meneutralisasikan dan membendung pandemik Covid-19 menerusi ujian secara besar-besaran, kata pakar virologi.

Mereka berkata akan berlaku kekangan logistik kepada kerajaan untuk menjalankan ujian seperti itu, menambah Putrajaya juga berdepan kesukaran mendapatkan kit ujian dalam jumlah yang banyak.

Katanya, peningkatan jumlah kes dalam beberapa hari terakhir ini juga akan memberi tekanan tinggi kepada makmal di negara ini dan kakitangannya untuk mengendalikan ujian secara besar-besaran.

Dr Christopher Lee dari Unit Penyakit Berjangkit di Hospital Sungai Buloh bersetuju ujian besar-besaran akan mengurangkan jangkitan virus tetapi berkata Malaysia ada menjalankan prosedur hampir sama iaitu dengan melakukan pengesanan sentuh sebelum mengasingkan mereka yang pernah ada kontak dengan pesakit positif Covid-19.

“Ujian besar-besaran sebenarnya kajian kesihatan awam untuk melihat sama ada dengan mengenal pasti kes dengan cepat dan pengasingan awal, dapat mengurangkan jangkitan. Sudah tentu ia dapat mengurangkan.

“Itu asas intervensi menjejaki kontak – iaitu untuk mengambil kes awal antara mereka yang terdedah dan kemudian mengasingkan mereka. Namun, ujian besar-besaran akan memerlukan banyak ujian, tambahan lagi ia perlu ujian dilakukan dengan cepat.

“Pada waktu ini, Malaysia belum ada kapasiti itu lagi. Ketika kita melihat lebih banyak penularan dalam masyarakat, kita betul-betul perlu meningkatkan lagi kapasiti ujian kita,” katanya yang juga penasihat untuk penyakit berjangkit di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut akhbar UK, The Guardian, bandar kecil Vò, di utara Itali menjadi kajian kes yang menunjukkan bagaimana saintis mungkin meneutralisasikan penularan Covid-19.

Bandar kecil Vò, di utara Itali menjadi kajian kes yang menunjukkan bagaimana saintis mungkin meneutralisasikan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 20 Mac, 2020.

Ketika kajian itu dimulakan pada 6 Mac, terdapat kira-kira 90 orang yang dijangkiti di Vò. Sudah beberapa hari ini, tidak ada kes baharu dilaporkan.

“Kami juga dapat membendung wabak di sini kerana kami kenal pasti dan hapuskan jangkitan yang belum muncul dan asingkan mereka,” kata Andrea Crisanti, pakar jangkitan di Imperial College London, yang turut serta dalam projek Vò.

Masalah logistik

Pakar virologi Prof Dr Lam Sai Kit berkata ujian besar-besaran mustahil dilakukan di Malaysia dan amat sukar secara logistik untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sudah tentu tidak ada salahnya melakukan ujian populasi, tetapi ia sukar secara logistik dan mustahil untuk dilakukan oleh Malaysia, atau mana-mana negara sekalipun.

“Kajian di  Vò tidak boleh dilakukan sekali lagi meskipun di Itali yang mempunyai populasi 60.48 juta orang, kerana tidak mungkin ada cara untuk mendapatkan kit ujian diagnostik yang mencukupi.

“Malah, Amerika Syarikat (AS) sendiri berdepan masalah kekurangan kit ujian dan terpaksa melakukan ujian hanya kepada mereka yang mengalami simptom, dan mereka yang ada kontak rapat dengan pesakit,” katanya.

Dr Lam berkata ujian hanya perlu dilakukan kepada mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19 dan kontak mereka, pesakit mengalami simptom seperti influenza, dan penyakit pernafasan terpilih.

Katanya, dengan lonjakan kes positif, beliau tidak pasti adakah makmal di negara ini dan kakitangannya mampu menjalankan ujian besar-besaran.

Berlaku lonjakan kes Covid-19 di Malaysia dalam tempoh minggu lalu dengan 900 kes dilaporkan setakat Khamis, kebanyakan dari kluster membabitkan 14,500 warga tempatan yang menghadiri program tabligh empat hari di Masjid Sri Petaling dari 27 Februari.

Setakat ini, kira-kira 10,500 daripada 14,500 peserta terbabit sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan dua kematian akibat Covid-19. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen