Stesen kereta api, bas sesak di ibu negara


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Orang ramai beratur membeli tiket di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) selepas kerajaan umum perintah kawalan pergerakan selama 14 hari bermula esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Mac, 2020.

BERIBU-RIBU rakyat Malaysia dilihat memenuhi stesen kereta api dan bas di ibu negara malam ini selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama 14 hari yang bermula esok sehingga 31 Mac ini. 

Pengumuman itu dibuat bagi membendung wabak pandemik Covid-19.

Orang ramai dilihat beratur membeli tiket seawal jam 2 petang untuk pulang ke kampung selepas pejabat dan institusi pengajian diarah tutup selama 14 hari di seluruh negara.

Tinjauan dibuat oleh The Malaysian Insight mendapati tiket kereta api ke Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis habis dijual.

Bagaimanapun tiada pengimbas atau ujian pemeriksaan suhu dijalankan di kedua-dua tempat.

Di KL Sentral lebih 500 orang beratur sejak jam 2 petang untuk mendapatkan tiket kereta api ke destinasi utara dan selatan. 

Mereka yang tidak dapat membeli tiket di KL Sentral kemudiannya pergi ke stesen bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk mendapatkan pengangkutan pulang ke rumah.

Fauzan Halis, 19, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ibunya mahu dia pulang ke rumah menaiki kereta api.

“Sebenarnya saya mahu tinggal di asrama tetapi ibu menelefon dan menyuruh saya pulang ke rumah. Dia suruh saya pulang esok.

“Buat masa ini saya beli tiket satu arah. Saya tidak pasti jika saya akan kembali pada 31 Mac kerana ibu bapa saya masih bimbang dengan situasi semasa.

“Setiap hari ada banyak kes, seperti tidak akan berakhir,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 17 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen