Penjelasan tentang kluster Covid-19 dari acara tabligh


Ragananthini Vethasalam

Malaysia mengumumkan 190 kes baharu positif Covid-19 semalam, satu peningkatan drastik bilangan kes yang disahkan dalam sehari. – Gambar EPA, 16 Mac, 2020.

KES jangkitan Covid-19 di Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak pada minggu lepas ekoran jangkitan di kalangan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Hanya pada Ahad sahaja, Malaysia mengumumkan 190 kes baharu positif Covid-19, satu peningkatan drastik bilangan kes yang disahkan dalam sehari.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata majoriti kes itu adalah dari perhimpunan tabligh di Masjid Jamek.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia sekarang berjumlah 428 kes.

Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai wabak yang berpunca dari perhimpunan di masjid tersebut:

Apakah tabligh dan siapa yang menganjurkannya?

Ia adalah program dakwah agama yang bertujuan mengajak umat Islam untuk kembali mengamalkan Islam seperti yang diamalkan sepanjang hayat Nabi Muhammad, terutama dalam hal ritual, budaya, dan tingkah laku peribadi.

Acara ini dianjurkan Masjid Jamek Sri Petaling, atau dipanggil Jord Qudama & Ulama Malaysia 2020.

Acara itu diadakan antara 27 Februari dan 1 Mac, dan telah menarik kira-kira 16,000 peserta, termasuk dari Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Sekitar 14,500 warga Malaysia dikatakan menghadiri acara tersebut.

Bagaimanakah jangkitan bermula?

Setakat ini, tidak diketahui bagaimana jangkitan tersebut bermula di program tabligh tersebut. Kluster ini mula menjadi umum selepas seorang peserta perhimpunan itu menjadi kes pertama Covid-19 di Brunei.

Bagaimana reaksi pihak berkuasa?

Apabila diketahui bahawa peserta acara itu telah dijangkiti, Kementerian Kesihatan segera menggesa peserta tempatan untuk hadir menjalani pemeriksaan.

Pihak berkuasa Islam negeri juga dimaklumkan untuk menyampaikan mesej supaya semua orang yang telah mengambil bahagian dalam acara tiga hari itu untuk diperiksa.

Setakat pukul 7 malam pada hari Sabtu, sejumlah 4,942 peserta dari perhimpunan tabligh telah dikenalpasti.

Daripada jumlah tersebut, 3,069 telah menjalani pemeriksaan dengan 137 hospital.

Apakah reaksi pihak berkuasa agama?

Menteri Hal Ehwal Islam Senator Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengulangi seruan kerajaan agar para peserta menjalani pemeriksaan diri di pusat-pusat kesihatan daerah, Perlis pula mengarahkan 64 orang peserta dari negeri itu dikuarantin.

Menteri Hal Ehwal Islam Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa para peserta himpunan tabligh menjalani pemeriksaan diri di pusat-pusat kesihatan daerah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

Apakah tindak balas negara jiran?

Selepas kes jangkitan positif warga Brunei, kerajaan negara itu telah menemui 15 kes lain daripada mereka yang menghadiri acara tersebut, dan lapan lagi yang telah dijangkiti dari mereka.

Singapura mengenal pasti lima kes positif dari acara keagamaan tersebut, dan berkata ia sedang menyiasat dan mengenal pasti 95 warganya yang menghadiri perhimpunan tersebut di Malaysia.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam ucapannya mengatakan bahawa terdapat keperluan untuk memendekkan acara keagamaan, atau mengurangkan kehadiran di acara tersebut.

Jumaat lepas, republik itu mengarahkan semua masjid ditutup sementara untuk solat Jumaat selepas lima kes disahkan dari acara tabligh itu telah melawat 10 masjid di Singapura dalam tempoh mereka dijangkiti.

Kedutaan Thailand di Malaysia menyeru umat Islam Thai yang telah menghadiri perhimpunan tersebut untuk segera menjalani pemeriksaan.

Sekitar 696 orang Indonesia turut menghadiri acara tersebut.

Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia naik mendadak minggu lepas ekoran jangkitan di kalangan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

Adakah masjid di Malaysia ditutup?

Sejauh ini tidak ada keputusan sedemikian.

Jumaat lepas, pihak berkuasa agama mendesak khutbah Jumaat dipendekkan sementara Perlis mengarahkan solat Jumaat dibatalkan dan meminta mereka melaksanakan solat zohor di rumah masing-masing.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan bahawa semua perhimpunan massa termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, acara sosial dan agama akan ditangguhkan sehingga 30 April atau dibatalkan.

Beliau menambah bahawa solat di masjid mesti mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Islam Zulkifli Al-Bakri.

Apa yang akan berlaku seterusnya?

Dengan jumlah 14,500 rakyat Malaysia yang menghadiri acara tabligh tersebut, dijangkakan bilangan kes positif Covid-19 akan meningkat dalam beberapa hari akan datang. 

Lonjakan bilangan jangkitan secara mendadak dalam tempoh sehari seperti yang dilihat pada hari Ahad adalah pengukur kepada apa yang mungkin berlaku. Pihak berkuasa akan berterusan menegaskan untuk semua peserta perhimpunan mendapatkan pemeriksaan, dan menjarakkan diri jika ragu-ragu. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen