Apakah ekonomi dunia menuju kemelesetan?


Zainal Rashid Ahmad

PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin mengesahkan industri pelancongan negara mengalami kerugian RM3.37 bilion pada Januari dan Februari tahun ini. Kesan dua bulan pertama akibat pandemik Covid-19.

Negara dijangka mengalami kerugian total sekitar 0.8% (RM10.8 bilion) hingga 1.2% (RM17.3 bilion) Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini.

Mengikut data kajian, setelah lapan minggu wabak Covid-19 melanda, industri penerbangan global mengalami kerugian AS$100 bilion.

Angka kerugian dijangka mampu mencecah AS$200 bilion pada suku pertama tahun ini berdasarkan tindak balas pengguna selepas gelombang kedua serangan Covid-19 semakin buruk.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan Covid-19 telah melangkaui 100 negara. Eropah berada dalam keadaan kritikal berikutan penularan luar biasa di Itali.

Eropah masih mengalami musim sejuk di mana virus Covid 19 dikatakan aktif pada suhu rendah.

Setakat Jumaat lalu, Itali mengesahkan 12,642 kes jangkitan dengan 1,016 kematian. Kadar kematian hampir 8% berbanding purata global hanya 4.5%.

China negara pandemik bermula mencatatkan purata kematian lebih rendah.

Pada Jumaat lalu, 3,179 kematian dilaporkan. Sekitar 4% berbanding jumlah jangkitan total 80,813 kes.

Amerika Syarikat serta-merta mengambil langkah panik mengawal masuk semua penerbangan dari Eropah. Tindakan yang menyebabkan kesan ekonomi global makin memburuk.

Setakat semalam, 141,474 disahkan dijangkiti Covid-19 di lebih 100 negara dengan 5,399 kematian.

Covid-19 wabak pandemik terburuk dalam sejarah dunia moden. Sekiranya terus berpanjangan, ia mampu menjerumuskan dunia ke kemelesetan ekonomi.

Setakat ini, kesan terhadap pelancongan sangat ketara. Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sangat terkesan.

Presiden MATTA, Tan Kok Liang mendedahkan, agensi pelancongan tempatan kehilangan RM500 juta berikutan pembatalan perjalanan bermula Februari lalu.
Ini angka yang menakutkan.

Ratusan agensi pelancongan dijangka lumpuh sekiranya kesan pembatalan dan ketiadaan tempahan berterusan melepasi suku pertama tahun ini.

Selain MATTA, sektor perhotelan turut terjejas teruk. Walaupun terdapat hotel yang menurunkan kadar sewaan hingga melepasi 50%, tawaran ini tidak mampu meredakan ketakutan awam untuk melancong.

Secara amnya, rakyat Malaysia tidak menunjukkan minat untuk melancong sekali pun secara domestik.

Media sosial pula dipenuhi dengan penyebaran maklumat negatif dan mencetuskan rasa panik melampau.

Pelancongan domestik – diselubungi trauma. Sekalipun berada di kafe atau banquet hotel - akan dianggap mendedahkan diri pada jangkitan Covid-19.

Periuk nasi rakyat marhean mula terjejas

“Kami sudah enam minggu tidak menerima tawaran kerja sambilan di hotel,” kata Fara Rashid.

Sejak graduasi pada Oktober tahun lalu, Fara dan rakan-rakan sukar mendapatkan kerja tetap.

Mereka bergantung hidup pada kerja sambilan sebagai pelayan di majlis banquet hotel-hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur.

“Orang bukan saja tidak menempah bilik hotel, majlis banquet pun dibatalkan. Jadi, kami tidak dipanggil jadi pelayan sambilan,” katanya.

Fara dan rakan-rakannya sejak lapan bulan lalu, bekerja dengan mendaftar hampir di semua hotel utama Kuala Lumpur. Setiap kali ada majlis jamuan di banquet, pihak hotel menawarkan kerja sambilan.

“Kami menerima gaji antara RM80 hingga RM120 setiap kali bekerja antara lapan hingga sembilan jam mengikut status hotel dan jumlah hidangan,” katanya.

Sejak belajar di kampus hingga sekarang, pekerjaan di banquet adalah sumber pendapatan bulanan.

“Kami boleh dapat antara RM1,000 hinga RM1,400 sebulan kalau kerja tiga atau empat hari seminggu apabila banquet hotel dipenuhi tempahan,” katanya.

Sejak Februari lalu, kata Fara, sukar mendapat kerja walaupun sekali seminggu.

“Sekarang kami beralih dengan menerima tawaran sebagai pelayan katering majlis kenduri perkahwinan,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis meminta semua acara awam ditangguhkan.

Pada Jumaat, arahan Jabatan Perdana Menteri menghadkan kebenaran hanya program dibawah 250 kehadiran.

Seluruh dunia panik

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan semua perlawanan domestik.

Tindakan paralel menyertai langkah Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA). Semua perlawanan EPL dan kejohanan UEFA ditangguhkan serta-merta bermula minggu lalu.

Syarikat penerbangan tempatan sudah menawarkan pelbagai pakej pemotongan kos operasi sejak awal. Pekerja berdepan pemotongan gaji dan elaun. Malah, lebih ekstrim diminta mengambil cutit anpa gaji.

Pusat membeli-belah mula mengalami penyusutan kunjungan berikutan penularan spekulasi kes-kes Covid-19 tersebar di mall sekitar Kuala Lumpur.

Sama ada spekulasi atau tidak, realiti mengenai seriusnya Covid -19 tidak dapat dinafikan. Dunia sedang bergegar dengan gelombang kedua yang luar biasa.

Percayalah – impaknya akan menyeret dunia ke krisis kemelesetan sekirang Covid-19 berpanjang merentas suku kedua tahun ini.

Realiti ekonomi global semakin memburuk berikutan kegagalan rundingan negara pengeksport minyak mengenai kaedah kawalan pengeluaran.

Pasaran minyak global minggu ini jatuh ke paras AS$30 setong. Harga terburuk sejak krisis ekonomi dunia 1998.

Malaysia ikut terbeban memandangkan eksport minyak menjana 33% pendapatan negara.

Bursa Malaysia turut merudum sepanjang dua bulan ini. Malah, keadaan bursa jatuh ke paras terburuk berbanding ketika krisis subprima di Amerika Syaraikat pada 2008.

Malah, semua bursa utama dunia menyusut pantas dalam rantaian domino.

Bursa Malaysia hilang 74.68 mata atau 5.26% pada Jumaat lalu – jatuh ke paras 1,344 mata. Malah, dijangka akan jatuh lagi dibawah paras 1,300 mata minggu depan.

Bersedialah. Krisis kemelesetan ekonomi bakal menggegarkan dunia.

Bersedialah – Malaysia akan dilanda impak ekonomi yang teruk akibat Covid-19 dan krisis kejatuhan mendadak harga minyak global. – 15 Mac, 2020.

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen