Ikan kembung berlambak; pengguna gembira, nelayan berduka


Zaim Ibrahim

Lambakan ikan kembung yang kebanyakan daripada Gred C dan Gred D menyebabkan harga ikan itu dijual serendah 50 sen hingga 70 sen sekilogram. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Mac, 2020.

LAMBAKAN ikan kembung di beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia menguntungkan pengguna yang boleh mendapatkan bekalan ikan pada harga murah, namun ia merungsingkan nelayan yang terpaksa menanggung kerugian.

Nelayan di Pulau Pinang memberitahu The Malaysian Insight, pendapatan mereka jatuh separuh sejak tiga minggu lalu, sejak musim angin barat tiba.

Dalam sehari, mereka biasanya memperoleh keuntungan RM100, selepas ditolak kos dan upah. Namun sejak dua tiga minggu lepas, sehari mereka dapat purata RM30.

Ikan kembung yang berlambak di perairan utara sekarang dijual antara 50 sen hingga 80 sen sekilo, berbanding harga sebelum ini sekitar RM5 sekilo.

Nelayan Abdul Safar Abdul Rahman, 60, berkata musim angin barat biasanya melambakkan ikan kembung sementara ikan jenis lain berkurangan.

“Pendapatan saya merundum sampai 50% hingga 60%,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Pengkalan Bisik Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.

Setiap hari sejak tiga minggu lalu, di pasar itu tidak putus orang datang membeli ikan kembung yang dijual murah.

“Jika waktu sebelum musim ini, tolak kos operasi dan upah kepada awak-awak boleh dapat RM100 lebih untung tetapi sekarang, RM30 sehari saja. Paling tinggi pun RM50.

“Biasanya kita boleh jual ikan kembung saiz kecil itu 3kg hingga 4kg RM20, tetapi sekarang sekilo kita jual 70 sen, 80 sen dan kadang-kadang 50 sen supaya cepat habis,” tambahnya.

Nelayan, Abdul Safar Abdul Rahman berkata lambakan ikan kembung dan jualan murah ikan itu menyebabkan pendapatan nelayan terjejas 50%. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Mac, 2020.

Safar berkata pendapatan RM30 sehari bagi hasil tangkapan 1 tan sangat tidak memadai.

“Sehari saja kita gunakan kos minyak hingga RM400, kos ais RM50. Dengan lambakan ikan, kita terpaksa juga jual ikan walaupun untung tidak banyak,” katanya.

Safar yang juga nelayan veteran di Penaga, menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bertindak segera untuk mengawal harga ikan kembung.

“Peraih beli daripada kita 70 sen sekilo tetapi apabila di pasar, harga ikan dijual sampai RM4 sekilo. Ini tidak adil kerana orang tengah untung lebih banyak,” tegasnya.

Lambakan ikan kembung itu adalah daripada jenis ikan kecil atau dipanggil Gred C dan D.

Kebiasannya, sekilo ikan kembung gred C dan D di pasar, kira-kira 18 hingga 20 ekor, dijual pada harga RM6.

Bagi mengatasi lambakan ikan itu, nelayan menjualnya secara borong dalam bakul yang boleh memuatkan ikan sehingga 4kg atau 5 kg, dan dijual pada harga RM25 hinga RM35.

Malah ada nelayan menjualnya pada harga RM5 atau memberinya secara percuma kepada pelanggan, untuk menghabiskan stok.

Harga sebakul ikan kembung dijual RM25 hingga RM30 pada musim ini, dengan ada nelayan beri percuma sebakul ikan untuk habiskan stok. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Mac, 2020.

Orang ramai boleh membeli ikan sama ada melalui penjual yang berada di jeti atau membeli secara terus daripada nelayan di persisiran pantai.

Nelayan itu turun ke laut seawal jam 3 atau 4 pagi, dan satu demi satu bot mula pulang pada jam 9 pagi bersama hasil tangkapan.

Bagi Azrul Shamsuddin, 37, beliau bimbang musim lambakan ikan kembung berlanjutan kerana nelayan perlu menanggung kerugian.

“Mungkin musim ini berlanjutan tiga ke empat bulan lagi. Saya pun risau, sebab kos harian kami pun mahal dan apabila ikan dijual pada harga sangat murah, keuntungan kami pun terjejas.

Ditambah dengan wabak Covid-19, ikan kembung yang patutnya dieksport ke China dan Indonesia pun tersekat.

“Jadi ikan kita tidak boleh dibiarkan lama, setiap kali tangkap perlu dijual walaupun dengan harga yang murah atau bagi percuma,” tambahnya.

Azrul berkata harga yang murah kini sama seperti keadaan pada 20 atau 30 tahun lalu dan nelayan mengharapkan, musim lambakan ikan ini akan segera berakhir.

“Kalau (musim) panjang lagi susahlah nelayan. Memang susah.

“Selalu satu bakul kita boleh jual dalam RM100, tetapi kini jual pada harga RM30 untung kita semakin kecil,” jelasnya.

Durian runtuh buat pengguna

Namun bagi Norliza Ismail, dari Kuala Ketil, Kedah, beliau sudah dua kali membeli ikan di Kuala Muda sejak jualan murah ikan itu tular di media sosial.

Beliau juga antara pelanggan yang pernah membeli ikan sekilo pada harga 50 sen.

“Saya beli satu bakul, mungkin sampai 5kg. Niat saya untuk sedekah saja, nak makan untuk keluarga kita pun sudah banyak.

“Musim lambakan ikan ini memang biasa berlaku setiap tahun, jadi setiap tahun saya ke sini beli ikan yang murah. Kalau di pasar, kadang-kadang sekilo pun dah berbelas ringgit,” katanya.

Pesara polis, Mat Isa Basri, 58, juga telah dua kali membeli ikan di situ dan mengharapkan, musim angin barat laut itu akan berpanjangan.

“Bagi pembeli kitalah untung, dapat beli dengan harga yang murah sampai lima kupang sekilo.

“Tapi dua tiga bulan lepas, di Kuala Muda kita lihat ikan tidak terlalu banyak.

“Kita tahu musim ini ikan terlampau banyak dan tidak akan lama, sebab itulah selalu beli di sini… sementara harga ikan murah,” katanya. – 15 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen