Covid-19 lebih utama daripada segalanya, sekarang


Jahabar Sadiq

Gelombang kedua wabak Covid-19 menyebabkan angka mereka yang terlibat melonjak seiring dengan negara lain di serata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

MALAYSIA masih dalam kemelut politik tetapi ancaman lebih besar hari ini ialah wabak Covid-19.

Rasa jengkel kerana runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan malah sekarang diluahkan di dalam talian kerana rapat umum boleh mendatangkan risiko kepada hadirin.

Gelombang kedua jangkitan wabak itu menyaksikan angka mereka yang terlibat melonjak seiring dengan negara lain di serata dunia walaupun China, tempat virus ini bermula, mengisytiharkan kemuncaknya sudah berakhir.

Di Malaysia dan di negara lain, wabak itu masih bersebaran.

Lebih daripada itu, peralatan perlindungan diri yang dipakai oleh doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan untuk melawan pandemik ini di Malaysia, stoknya semakin berkurangan.

Rakyat Malaysia boleh melakukan beberapa perkara untuk meringankan keadaan dan memastikan sistem kesihatan boleh menangani mereka yang dijangkiti koronavirus yang telah tersebar ke serata dunia dan membunuh lebih 3,000 nyawa setakat ini.

Mengasingkan diri ialah satu daripadanya. Begitu juga dengan duduk di rumah atau tidak hadir ke tempat keramaian terutamanya jika rasa tidak sihat, sampailah kepada membersihkan tangan berulang kali.

Kalau perlu sampai ke peringkat tidak sembahyang berjemaah dan tidak ke rumah ibadat, terpaksalah.

Dan sudah tentu, cuba untuk tidak menyentuh mulut, mata, dan hidung, terutamanya muka.

Apa yang berlaku ini akan memberikan kesan kepada ekonomi – ekonomi yang sudah sedia menerima kesan daripada penutupan industri di China, perang harga minyak dunia dan kerenah politik yang membawa kepada pertukaran kerajaan pada 1 Mac lalu.

Hasil minyak akan merosot. Pendapatan daripada pelancongan akan berkurangan. Perniagaan runcit turun. Sektor makanan dan minuman pun akan menerima kesan akibat langkah berjaga-jaga yang diambil untuk membendung penularan virus itu. Pekerjaan mungkin akan terjejas sementara.

Tugas kerajaan baharu inilah untuk menyelesaikan semuanya.

Kita ada seorang perdana menteri baharu dan jemaah menteri baharu, yang kebanyakan kita tidak meletakkan kepercayaan pada mereka kerana cara mereka memanjat kuasa.

Itu masalah yang perlu ditangani lain kali, bukan sekarang ketika kesihatan rakyat sedang terancam.

Kita juga ada perkhidmatan awam yang sama, termasuk polis, angkatan tentera dan kakitangan perubatan yang selama ini memastikan kesejahteraan kita dan membendung penularan wabak itu ke seluruh negara.

Kita perlu bantu mereka untuk meneruskan khidmat.

Ayuh, sama-sama kita membantu. – 13 Mac, 2020.

* Jahabar Sadiq adalah pengasas The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen