SEMUA perhimpunan melibatkan orang ramai harus digantung bagi mengekang penyebaran jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak menentukan tempoh penggantungan itu, yang beliau sarankan melalui satu kenyataan di Facebook miliknya.
Saranan itu dibuat apabila pihak berkuasa agama persekutuan membincangkan sama ada mahu menggantung solat Jumaat di masjid.
Perlis memutuskan untuk menggantung solat Jumaat hari ini dan menggantikannya dengan solat Zohor di rumah.
Arahan dibuat selepas dua jemaah tabligh rakyatnya disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling antara 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
Selangor juga mengenakan larangan sementara terhadap semua aktiviti berkaitan perhimpunan tabligh di masjid dan surau seluruh negeri berkuatkuasa hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia cuba mengesan 5,000 penduduk tempatan sementara Singapura menutup masjidnya selama lima hari selepas dua jemaah tabligh rakyatnya disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.
Mengikut tatacara pentadbiran Malaysia, semua urusan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa negeri dan pengumuman mengenai status solat jemaah di masjid termasuk solat Jumaat adalah mengikut negeri.
Berikutan cuti sekolah yang bermula minggu ini Dr Noor Hisham menasihatkan untuk tidak membuat perjalanan ke negara yang terjejas akibat Covid-19.
Mereka yang sakit juga harus mengelak keluar sepanjang tempoh bercuti.
Malaysia mencatatkan 158 jangkitan pada hari ini yang mana 32 sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. – 13 Mac, 2020.
Komen