Nikah bawah umur, pendirian Perikatan tak jelas


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam Aminah Farid

Kajian mendapati perkahwinan bawah umur menafikan hak remaja perempuan mendapat pendidikan, selain menjejaskan perkembangan kesihatan mental mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2020.

AKTIVIS tidak pasti apakah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani isu perkahwinan bawah umur dan menaikkan had umur minimum kepada 18 tahun akan berterusan, memandangkan PAS kini berada dalam kerajaan persekutuan.

“Ini kerana kita tahu PAS menyokong perkahwinan bawah umur. Saya sendiri tidak rasa usaha ini akan diteruskan,” kata Pengasas dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.

Pensyarah di Monash University itu juga berkata hujah PAS bahawa perkahwinan bawah umur cara terbaik bagi remaja mengelakkan zina tidak disokong dengan data empirik.

“Hujah PAS sejak dulu berlandaskan sunnah tentang Nabi Muhammad mengahwini Aishah, dan bahawa perkahwinan bawah umur akan mencegah remaja berzina.

“Tetapi hujah ini tidak disokong dengan data empirik,” kata Ahmad Farouk.

Namun, kajian mendapati perkahwinan bawah umur menafikan hak remaja perempuan mendapat pendidikan, selain menjejaskan perkembangan kesihatan mental mereka.

Ahmad Farouk berkata hala tuju kerajaan baharu Perikatan Nasional dalam isu ini masih belum jelas, dan tidak mustahil jika PAS akan membangkitkan undang-undang hudud yang cuba dilaksanakan di negeri di bawah pentadbiran parti itu.

“Saya tak pasti ke mana hala tuju kerajaan baharu ini dalam soal agenda Islam mereka. Kita perlu ambil sedikit masa untuk menilai mereka. Tetapi kalau dilihat rekod prestasi mereka, saya rasa wawasan mereka akan bersifat konservatif.”

Hujah PAS tidak disokong dengan data empirik, kata Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2020.

Sepanjang 22 bulan memerintah, PH berusaha untuk meminda had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan.

Ia tidak dapat dikuatkuasakan di seluruh negara kerana tujuh negeri, iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan tidak menyokong usaha tersebut.

Selangor menjadi negeri pertama meminda Enakmen Undang-undang Keluarga Islam untuk menaikkan had umur perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun.

Pada 16 Januari lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa di bawah kerajaan PH melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Pelan itu bertujuan menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

PAS secara konsisten tidak bersetuju pelaksanaan larangan perkahwinan bawah umur dengan alasan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Pemimpin PH melahirkan rasa bimbang terhadap pelan tersebut susulan seorang ahli Parlimen PAS kini berada di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof yang dikenali kerana menyokong perkahwinan bawah umur dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian itu selepas Perkatan Nasional mengambil alih Putrajaya. – 15 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen