Perkahwinan bawah umur membimbangkan, kata Yeoh


Hannah Yeoh menyatakan kekhuatiran terhadap pelan tindakan nasional ke atas perkahwinan anak bawah umur dengan pelantikan seorang ahli Parlimen PAS sebagai penggantinya di kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

BEKAS Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyatakan kekhuatiran terhadap pelan tindakan nasional ke atas perkahwinan anak bawah umur dengan pelantikan seorang ahli Parlimen PAS sebagai penggantinya di kementerian.

“Apa yang akan berlaku pada pelan tindakan nasional kita untuk menentang perkahwinan kanak-kanak dengan pelantikan ahli Parlimen dari PAS sebagai timbalan menteri @KPWKM,” tulisnya di Twitter sebagai tindak balas terhadap kabinet baharu di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengganti Yeoh, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dari PAS dikenali kerana sokongannya terhadap perkahwinan kanak-kanak.

Rancangan Strategi Nasional dalam Mengendalikan Punca Perkahwinan Kanak-Kanak dilancarkan pada Januari oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Pelan ini bertujuan menyediakan alasan untuk penerimaan yang lebih meluas untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak atau menaikkan usia minimum perkahwinan yang seragam di semua negeri dengan menangani punca-punca yang mendorong anak-anak berkahwin bawah umur.

Siti Zailah ketika itu mempertahankan perkahwinan kanak-kanak dari perspektif bahawa ia berbeza dari kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, membuat bantahan dalam perbahasan Parlimen dengan bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching mengenai perkara itu.

Siti Zailah di Twitter menuntut penjelasan mengenai mengapa terdapat banyak juga perkahwinan di bawah umur dalam kalangan orang Cina.

Beliau juga mempertahankan perkahwinan adalah salah satu kontrak sosial yang suci di mana ia menghalalkan hubungan yang haram.

Di bawah kerajaan Pakatan Harapan lima negeri dan Wilayah Persekutuan bersetuju menaikkan umur perkahwinan minimum untuk perempuan Islam kepada 18 tahun melalui pindaan kepada undang-undang Islam negeri.

Di peringkat Persekutuan kerajaan PH juga berusaha ke arah undang-undang negara yang menaikkan usia minimum untuk perempuan Islam kepada 18 tahun.

Di bawah undang-undang keluarga Islam pada masa ini perempuan boleh berkahwin pada usia 16 tahun dengan lelaki berusia 18 tahun dan mereka yang lebih muda boleh melakukannya dengan kelulusan khas dari mahkamah syariah.

Aktivis wanita baru-baru ini menyatakan keprihatinan kepada The Malaysian Insight mengenai sama ada Kabinet baharu akan menjadi sensitive dan progresif ke atas hak wanita dan kanak-kanak dengan menamakan langkah-langkah khusus untuk menangani perkahwinan kanak-kanak di bawah kerajaan terdahulu. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen