Mana bantuan banjir JKM, soal exco Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin menunjukkan gambar tilan dan bantal yang mempunyai gambar Perdana Menteri Najib Razak yang diberikan Kelab Putera 1Malaysia minggu lepas. – Gambar The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

SEORANG exco kerajaan Pulau Pinang hari ini bertanya mengapa Jabatan Kebajikan Masyarakat tiada dana untuk bencana, tidak seperti organisasi sivil kerajaan persekutuan.

Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya) berkata jabatan itu tidak dapat menyediakan bantuan asas bencana selepas Pulau Pinang dilanda banjir pada 4 dan 5 November.

Bagaimanapun katanya, tiga hari kemudian, Kelab Putera 1Malaysia tiba di Pulau Pinang bersama 10 treler yang membawa bekalan seperti tilam bantal. 

Dr Afif berkata beliau tidak berniat untuk menghentam Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mempersoalkan keikhlasan kelab itu.

“Saya bertanya mengapa jabatan kebajikan tiada dana untuk memastikan ia ada bekalan dan bersedia menghadapi bencana. Kita semua tahu banjir sering berlaku di penghujung tahun. Apakah SOP badan persekutuan dalam menghadapi banjir?

“Saya juga bertanya berapa banyak dana yang Kelab Putera 1Malaysia ada untuk bantuan bencana dan dari mana duit itu datang. Adakah dari sumbangan orang ramai, atau Arab Saudi?

“Tunjukkan akaun dari mana duit itu datang dan bagaimana ia dibelanjakan,” katanya pada sidang akhbar di lobi dewan undangan negeri hari ini.

Beliau berkata ia menyedihkan yang bekalan sampai tiga hari selepas banjir berlaku.

“Saya fikir kita perlu dapatkan penjelasan untuk ini. Malah Perdana Menteri Najib Razak juga perlu beri penjelasan sebab wajahnya terpampang pada bekalan bantuan bencana.”

Beliau menunjukkan gambar tilam yang mempunyai gambar perdana menteri dan logo Umno.

“Kami takut nak koyakkan plastik, ia akan rosakkan gambar PM. Ia mungkin akan datangkan masalah atau menghasut bila koyakkan gambar PM,” kata timbalan ketua Pemuda PKR itu. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen