Ada apa dalam Kabinet Muhyiddin?


The Malaysian Insight

Kabinet Muhyiddin Yassin menampilkan empat menteri kanan dan tiada timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

BARISAN Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang diumumkan semalam menyaksikan kepulangan beberapa muka lama dan kemunculan semula PAS dalam Jemaah Menteri selepas hilang lebih 45 tahun.

Kabinet besar dengan 32 orang menteri dan 38 orang timbalan menteri itu juga terdiri daripada pelbagai pihak yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional- Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Senarai itu- Kabinet Malaysia yang kedua dalam tempoh hanya 22 bulan- kini sedang jadi tumpuan rakyat dan analisis pelbagai pihak.

Berikut adalah antara yang menarik tentang Kabinet baharu ini:

Tiada timbalan perdana menteri

Ini adalah yang pertama dalam sejarah negara. Semua pentadbiran sebelum ini mempunyai jawatan itu walaupun ia tidak dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan perdana menteri sering dilihat sebagai orang kedua paling kanan dalam Kabinet. Dalam Kabinet Dr Mahathir sebelum ini, beliau mencipta sejarah dengan menamakan timbalan perdana menteri wanita pertama negara.

Parti Sabah dan Sarawak juga sudah lama memohon jawatan itu diberikan kepada mereka bagi menjaga kepentingan dan hak mereka.

Bagaimanapun, Muhyiddin, memutuskan untuk mengosongkan jawatan TPM, sebaliknya memperkenalkan konsep menteri kanan.

Empat menteri kanan dinamakan- Mohamed Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri), Ismail Sabri Yaakob (pertahanan), Fadilah Yusof (kerja raya) dan Dr Mohd Radzi Md Jidin (pendidikan) bagi memastikan penyampaian Kabinet yang berkesan.

Kata Muhyiddin, empat menteri kanan ini akan membantunya termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet sekiranya beliau tidak hadir.

Ramai wakil Umno Johor

Muhyiddin nampaknya mengambil iktibar daripada pengalamannya mentadbir Umno Johor dengan memasukan penyokongnya ke dalam Kabinet Persekutuan. Pelantikan Hishammuddin Hussein sebagai menteri luar, Dr Adham Baba (kesihatan) dan Dr Abd Latiff Ahmad (luar bandar) adalah petunjuk jelas mengenai balasan kepada kesetiaan mereka kepada ahli Parlimen Pagoh itu.

Pemimpin Umno Johor lain termasuklah Noraini Ahmad dan Halimah Mohamed Sadique.

Berbaloi ubah pegangan politik

Kumpulan yang meninggalkan PKR dan mengikut jejak Azmin Ali kini menerima imbuhan mereka.

Azmin dilantik sebagai salah seorang menteri kanan memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri, sekutu kuatnya Zuraida Kamaruddin mengekalkan portfolio perumahan dan kerajaan tempatan. Saifuddin Abdullah kini menerajui komunikasi dan multimedia.

Baki lain yang turut keluar PKR kini pula menjawat gelaran timbalan menteri.

Begitu juga dengan beberapa individu yang keluar Umno selepas pilihan raya umum lalu seperti Mustapa Mohamad, Hamzah Zainuddin dan Dr Abd Latiff yang kini memegang jawatan besar.

Hamzah menerajui Kementerian Dalam Negeri, sementara Mustapa mengetuai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Redzuan Yusof yang mahu meninggalkan Pakatan Harapan dan Rina Harun yang sebelum ini tidak gembira dikaitkan dengan Umno pula masing-masing bergelar menteri tugas-tugas khas dan menteri wanita dan keluarga.

Seorang teknokrat, seorang mufti

Selepas timbul banyak cerita tentang kemasukan teknokrat dalam kerajaan, nampaknya hanya Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bukan ahli politik yang dibawa ke dalam Kabinet.

Seorang lagi bukan politikus yang dibawa masuk Kabinet ialah Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohammad al-Bakr yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam.

Kembalinya muka lama

Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan membuka semula jalan kepada muka lama Barisan Nasional.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang dahulunya menteri luar bandar kini jadi menteri Wilayah Persekutuan selepas tidak masuk Kabinet hampir 10 tahun.

Manakala, Ismail Sabri pula diangkat jadi menteri pertahanan-salah seorang menteri kanan.

Khairy Jamaluddin yang sebelum ini nampak tak sebulu dengan kepimpinan partinya, Umno dan Majlis Tertinggi juga dilantik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.
Turut kembali ialah Hishammuddin Hussein sebagai menteri luar.

Dr Wee Ka Siong daripada MCA pula dilantik sebagai menteri pengangkutan. Beliau boleh dianggap antara pemimpin utama parti itu yang berjuang mempertahankan kepentingan komunitinya berdepan musuh lama, DAP.

Sementara itu, wakil tunggal MIC dalam Dewan Rakyat, M Saravanan pula dilantik sebagai menteri sumber manusia.

Maximus Ongkili daripada Parti Bersatu Sabah pula dilantik sebagai menteri hal ehwal khas Sabah dan Sarawak.

Fadilah Yusof daripada GPS pula kembali memegang portfolio lamanya selaku menteri kerja raya, yang mencetuskan persoalan sama ada akan berlaku perubahan keputusan terhadap kontraktor utama Lebuh Raya Pan Borneo yang ditamatkan kontraknya oleh kerajaan PH sebelum ini. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen