Buang pemimpin Umno korup jika Muhyiddin mahu jumpa, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Pengerusi Bersatu itu mengakui menerima surat daripada Muhyiddin Yassin yang menjemput beliau untuk berjumpa tetapi pendiriannya tetap sama iaitu menolak Umno menyertai gabungan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

DR Mahathir Mohamad tidak melihat sebarang keperluan untuk bertemu Muhyiddin Yassin, melainkan perdana menteri itu sanggup membuang pemimpin Umno yang korup daripada gabungan baharu kerajaan.

Pengerusi Bersatu itu mengakui menerima surat daripada Muhyiddin Yassin yang menjemput beliau untuk berjumpa tetapi pendiriannya tetap sama iaitu menolak pemimpin Umno korup menyertai gabungan kerajaan.

“Saya tidak tengok apa sebab nak jumpa melainkan dia sanggup buang orang itu semua (pemimpin Umno korup), maka mungkin boleh jumpa. Itu pun saya akan timbang dahulu,” kata beliau di Langkawi.

Tambahnya, gesaan akar umbi supaya beliau dan Muhyiddin kembali berdamai juga sukar kerana Muhyiddin sanggup bersama dengan pihak yang dituduh mahkamah atas kesalahan rasuah.

“Saya tidak boleh berdamai dengan orang yang dituduh di mahkamah mencuri billion-billion ringgit.

“Saya kata ahli Umno masuk Bersatu saya sedia terima dengan syarat mereka tinggal Umno dulu, dan masuk diri sendirilah.

“Tetapi Muhyiddin Yassin kata sanggup kerjasama dengan orang yang kena tuduh mencuri, itu saya tak boleh (terima),” tambahnya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan Muhyiddin mengutus surat untuk bertemu dengannya.

“Muhyiddin berkata beliau sudah menghantar surat untuk meminta Dr Mahathir bertemu. Hanya menunggu tarikh dari Dr Mahathir sahaja.

“Kita berharap supaya Dr Mahathir bersetuju untuk bertemu secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful juga mendakwa majoriti ahli Bersatu mahu pucuk pimpinan parti itu kembali bersatu.

Bersatu kini terpecah dua kepada ahli Parlimen pengikut Dr Mahathir yang mahu mempertahan pentadbiran Pakatan Harapan dan penyokong Presiden Muhyiddin Yassin bersama gabungan baharu Perikatan Nasional.

Dr Mahathir semalam menegaskan, beliau masih Pengerusi Bersatu dan masa depan parti itu ditentukan oleh ahli parti dalam pemilihan jawatan tertinggi tidak lama lagi.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas pentadbiran Pakatan Harapan runtuh ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen